Penulis tidak bertanggungjawab atas segala kesulitan yang timbul akibat daripada penggunaan sebarang bahan dalam blog ini. Sebarang maklumat yang tercatat dalam blog ini adalah hampir tepat pada tarikh penulisan tetapi mungkin berubah mengikut keadaan semasa.

Sekiranya ada sebarang pertanyaan yang berkaitan, sila tuliskan di ruangan komen atau e-melkan kepada penulis. Komen anonymous dibenarkan, tetapi anda digalakkan untuk meninggalkan komen dengan mendaftar masuk akaun Google atau Blogger masing-masing.

Sebarang komen yang tidak berpatutan atau difikirkan tidak sesuai akan dibuang selaras dengan Akta Keterangan (pindaan 2012) di mana pemilik blog bertanggungjawab terhadap segala komen yang disiarkan.

Pemilik rumah penginapan atau homestay juga dibenarkan tulis iklan di ruangan komen. Terima kasih. =)

Wednesday, October 10, 2012

Cebisan kenangan di FELDA Nitar 2 | BIG Fasa 4 2012

Mengumpul cebisan-cebisan kenangan sambil menabur benih-benih bakti. Tiga hari berkampung di FELDA Nitar 2, Mersing, Johor baru-baru ini terasa amat singkat pada pandangan saya.
Nama Nitar dikatakan merupakan nama anak perempuan orang asli di kawasan tersebut yang hilang di dalam hutan dan tak pernah ditemui. Bersempena nama gadis itu, kawasan ini dinamakan Nitar. Gugusan FELDA Nitar terdiri daripada 3 kawasan iaitu Nitar 1, Nitar 2 dan Nitar Timur.

FELDA Nitar 2.
Kawasan FELDA Nitar 2 ini dibuka sekitar tahun 1984 dengan kebanyakan penerokanya adalah daripada kawasan negeri Johor. FELDA ini terletak kira-kira 26 kilometer dari Bandar Mersing dengan bilangan penduduknya seramai lebih 3200 orang.

Pengalaman menyertai program anak angkat di sana baru-baru ini sangat bermakna pada saya. Apatah lagi bertindak sebagai pengerusi program ini, terlalu banyak pengalaman yang ditimba.


"Sekali sekala, cubalah jadi lokomotif di depan supaya kita tahu macam mana beratnya mereka memimpin gerabak di belakang mereka selama ini."

Betul. Bila kita duduk di atas, baru kita tahu betapa beratnya untuk menguruskan segalanya. Baru rasa bebannya untuk memimpin orang di bawah sebagaimana beratnya sebuah lokomotif (kepala kereta api) menarik gerabak-gerabaknya yang beratnya lebih kurang 40 tan setiap satu itu. Ditarik terlalu kuat, penyambungnya akan patah atau pecah. Ditarik terlalu lembut pula sukar untuk bergerak. Begitu juga memimpin orang. Terlalu keras, nanti akan mendinginkan hubungan dan timbul suasana tak selesa. Kalau terlalu lembut, lain pula jadinya.

Buat pertama kalinya menjadi orang penting dalam program sebesar ini, malahan melibatkan masyarakat luar institut,, Terasa benar beban tugas yang diamanahkan. Alhamdulillah, syukur kerana dikurniakan ahli-ahli jawatankuasa yang sangat banyak membantu dan turut sama bertungkus lumus membuat pelbagai persiapan sebelum dan semasa program berlangsung. Kadang-kadang terasa macam diri ini tak buat apa-apa dan mereka saja yang banyak membuat persediaan.

Alhamdulillah, syukur juga kerana ditakdirkan bersama dengan penduduk FELDA ini yang terlalu banyak membantu dan menyediakan segalanya. Entah berapa banyak kos yang mereka keluarkan untuk menyambut kami, mungkin mencecah ribuan ringgit. Setiap kali tamat sesuatu acara, pasti ada sesi minuman ringan dan kuih muih yang disediakan. Itu belum dikira lagi jamuan majlis penutup dan 2 ekor kambing golek masa majlis penutup itu. Terima kasih banyak-banyak diucapkan. Tak terbalas rasanya jasa mereka ini.

Kehadiran kami ke sini sebenarnya adalah cadangan daripada salah seorang staf di IPG kami sendiri. Apa pun, kami tak silap untuk ke sini. Kawasan tanah rancangan ini sangat berbeza daripada kawasan FELDA yang lain. Dengan pokok bayam merah sebagai identiti kawasan ini, tumbuhan tersebut ditanam di sepanjang jalan dalam kawasan tanah rancangan ini. Lalulah mana-mana jalan sekalipun, pasti di kiri kanannya tersusun pokok bayam merah ini. Landskap kawasan FELDA ini juga sangat cantik dan kemas. Tak hairanlah FELDA Nitar 2 ini boleh menjadi juara dalam Anugerah Keceriaan Kampung FELDA (AKKF) 2012. Tahniah diucapkan buat seluruh warga FELDA Nitar 2.
Pokok bayam merah.
Sepanjang di sana, saya tinggal bersama ayah dan ibu angkat dengan rakan saya, Hasiff. Ayah angkat kami ialah Ustaz Mohd Kamal bin Noryani dan ibu angkat bernama Turimah binti Kasmin. Mereka sangat baik hati dan peramah. Sampaikan bila program tamat, rasa macam taknak balik Batu Pahat lagi dan nak terus tinggal di sini. Ibu angkat kami sangat rajin. Tiap-tiap kali kami balik ke rumah, ada saja minuman dan kuih-kuih yang disediakannya. Terima kasih ibu. =)

Berikut serba sedikit mengenai catatan aktiviti kami di sana.

Jumaat – 21 September 2012

Kami berkumpul di perkarangan tempat letak bas institut pada jam 7.30 pagi. Selesai semuanya, kami bertolak pada kira-kira jam 8 pagi.
Perjalanan mengambil masa kira-kira 3 jam melalui Bandar Kluang. Sempat jugak tengok sebiji tren melintas.

Kira-kira jam 11.20 pagi, kami menjejakkan kaki di FELDA Nitar 2, Mersing, Johor. Pertama kali bagi saya untuk ke sini. Kebiasaannya, saya cuma lalu jalan di depan sahaja untuk ke Mersing. Agak kelam kabut juga kerana tidak ada pensyarah yang ikut sama pada pagi itu.
Sebaik tiba, kami menurunkan barang di Dewan Terbuka Nitar 2. Besar dewannya, lebih kurang sama besar dengan dewan bangunan gimnasium kami di institut. Bezanya, dewan ini ialah dewan terbuka dan ada pentas. Bas terus bergerak kembali ke Batu Pahat.
Dewan Terbuka Nitar 2.
Seketika kemudian, hujan turun mencurah-curah membasahi bumi Nitar. Tinggallah kami di dewan itu. Pertama kali tiba di sini, tak seorang pun tahu di mana masjid. Kalau tak hujan, nak juga kami berjalan kaki mencari. Akhirnya kami sekadar buat solat Zohor di surau bersebelahan dewan tersebut.

Jam 2.00 petang, penduduk mula datang ke situ. Mengikut jadual, aturcara pertama ialah ceramah oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Ceramah ini dan majlis perasmian diadakan di dewan tertutup, bersebelahan dengan dewan terbuka Nitar 2 ini.

Jam 2.30 petang, wakil daripada KPDNKK tiba. Ceramah pun berjalan seperti dijadualkan. Banyak juga input-input yang diberikan kepada kami dan penduduk FELDA.


Jam 3.30, hujan sudah reda. Kami mulakan majlis perasmian dan penyerahan anak angkat. Kami diserahkan kepada keluarga angkat masing-masing. Selain itu ada juga penyerahan barang sumbangan untuk keluarga angkat masing-masing. Saya dapat duduk serumah dengan Hasiff di rumah ayah angkat kami, Ustaz Kamal. Ibu angkat kami pun ikut sama semasa majlis penyerahan tersebut. Penduduk FELDA turut menyediakan minuman ringan dan kuih muih selepas majlis.
Ketua Peneroka FELDA Nitar 2.
Kira-kira jam 5.30 petang, kami pun meninggalkan dewan dengan ayah dan ibu angkat kami. Pertama sekali, mereka bawa kami ke gerai di tepi jalan utama FELDA Nitar.

Kira-kira jam 6 petang, kami menjejakkan kaki buat pertama kalinya di rumah keluarga angkat kami. Rumahnya agak luas dan cantik. Kami diberikan satu bilik untuk kami tidur. Sangat selesa.
Rumah keluarga angkat kami.
Disebabkan petang tersebut ada kes paip pecah, bekalan air terputus. Kedudukan rumah kami pula agak tinggi di atas bukit menyebabkan air lambat sampai ke situ. Jadi ayah angkat kami bawa kami menumpang mandi di masjid Nitar 2. Alang-alang dah mandi, solat Maghrib dan Isyak di masjid sekali secara jamak dan qasar.

Kira-kira jam 8.30 malam, kami sudah kembali ke dewan untuk aktiviti seterusnya. Aktiviti dijadualkan bermula jam 9 malam. Tapi biasalah, nama pun pengerusi, kena datang awal kan (grrrr…).
Jam 9 malam. Aktiviti malam ini ialah ceramah motivasi untuk pelajar-pelajar FELDA Nitar. Ceramah diadakan di dewan tertutup. Penceramah ialah pensyarah IP kami sendiri iaitu Encik Roslan bin Md Aroff. Alhamdulillah sebab kami agak mudah untuk berurusan dengan beliau. Bila fikir balik, terasa bersalah pada beliau sebab tukar tajuk di saat akhir, memang betul-betul akhir, akibat salah komunikasi. Disebabkan UPSR dah lepas, ceramah ini ditujukan buat anak-anak FELDA yang akan menduduki PMR, SPM dan STPM. Ramai juga yang hadir termasuklah ibu bapa.
Encik Roslan sedang menyampaikan ceramahnya.
Sebahagian daripada mereka yang hadir.
Penyampaian cenderamata untuk Encik Roslan.
Aktiviti tamat pada jam 11 malam dan ada sedikit jamuan ringan. Tapi kami cuma pulang jam 12 malam sebab banyak benda nak diuruskan untuk aktiviti esoknya. Walaupun lambat, ayah angkat kami sabar menanti dalam kereta di luar dewan.


Sabtu – 22 September 2012

Keesokannya, kami bangun pada kira-kira jam 6.30 pagi. Selesai solat Subuh dan bersiap-siap, kami duduk menikmati sarapan dengan ayah dan ibu angkat kami.

Jam 7.45 pagi, kami bergerak ke dewan semula. Kali ini ayah angkat kami berikan satu motosikal untuk kami gunakan. Alhamdulillah. Tak perlu susahkan ayah nak hantar dan ambil kami dari tempat aktiviti setiap kali. Tambahan pula tugas saya menyebabkan masa balik kami tak menentu, nanti tertunggu-tunggu pula dia.

Aktiviti kami pagi ini ialah gotong royong. Kami ditugaskan untuk membantu menanam bayam merah di tepi-tepi jalan sepanjang kira-kira 1 kilometer. Dekat je jaraknya. Tambahan pula bilangan kami yang ramai, kira-kira 40 orang menyebabkan tak terasa penatnya membuat kerja ini. Penduduk FELDA juga tak ketinggalan membantu.
Pelajar sedang bergotong-royong.
Semuanya rajin-rajin.
Antara penduduk yang turut sama.
Menanam pokok di sepanjang jalan.
Sambil-sambil menanam pokok, sempat juga saya dan Azizi ikut abang pemandu pikap tu pusing-pusing sekitar FELDA untuk ambil benih bayam merah. Seronok duduk di belakang pikap sambil snap gambar-gambar.
Seronok naik pikap. Haha.
Posing atas pikap.
Selesai bergotong royong, kami dijamu lagi dengan kuih ketayap dan kuih karipap bantal inti sardin yang ibu Siti sediakan. Seronok bergotong royong, macam-macam kerenah yang ada termasuk juga peristiwa tercangkul paip, kelam kabut dibuatnya.
Maaf pakcik. Tak perasan paip kat situ. =)
Paling menarik apabila kami dibawa bersiar-siar sekitar FELDA Nitar 2 dengan menaiki pikap FELDA. Duduk beramai-ramai di belakang pikap terbuka sambil menikmati pemandangan FELDA. Sangat seronok sampaikan terasa macam nak pusing banyak kali. Disebabkan hampir semua peserta nak merasa naik pikap, abang tu sampai buat 2 trip untuk jalan-jalan sahaja.  
Haha. =D
Hai pakcik. =)
Naik pikap beramai-ramai.
Escort belakang. 
Penduduk FELDA yang sangat ramah. =)
Pemandangan FELDA Nitar 2 ni memang sangat cantik. Seperti yang dikatakan tadi, pokok bayam merah ialah identiti kawasan tanah rancangan ini. Pokok ini ditanam di sepanjang-panjang jalan. Selain tu, landskap kawasan FELDA ni sangat cantik. Bukan setakat landskap di tepi jalan, malah penduduk turut menghias halaman rumah masing-masing dengan landskap yang cantik. Kalau tengok, dah macam rumah-rumah di bandar rupanya.
Persekitaran FELDA Nitar 2 yang cantik.
Perhatikan deretan pokok bayam merah di tepi jalan.
Kira-kira jam 12 tengah hari, kami kembali ke rumah keluarga angkat masing-masing. Hari ini ibu angkat kami memasak lauk tengah hari yang special. Ikan masak tiga rasa, kuah paprik bersotong dan ayam goreng. Lauknya siap dengan hiasan lagi. Terlalu istimewa layanan yang diberikan.

Jam 1.30 tengah hari. Selesai menunaikan solat Zohor+Asar, ayah dan ibu angkat kami bawa kami bersiar-siar ke Bandar Mersing, kira-kira 30 minit perjalanan. Asalnya ibu angkat kami nak membeli barang. Selepas itu, mereka bawa kami bersiar-siar di sekitar Mersing. 
Sungai Mersing.
Snapshot wajib kalau pergi Mersing. =D
Singgah di gerai Perusahaan keropok di Mersing Kanan. Kemudian, mereka bawa kami meninjau Kem Sekakap yang akan kami pergi sebaik sahaja balik dari Nitar ini. Dapatlah sedikit gambaran kem yang akan kami kunjungi nanti.
Perusahaan Keropok Ikan Hj Ramli, Mersing Kanan.
Melewati Kem Sekakap.
Jam 3 petang, kami sudah kembali ke Nitar 2. Sesampainya kami di rumah, kami terpaksa terus keluar menuju ke dewan semula. Aktiviti petang ialah sukaneka bersama penduduk. Sepatutnya bermula jam 3, tapi penduduk ada majlis lain. Jadi kami tangguhkan ke pukul 4.30 petang. Kebetulan ada team PA system di situ sedang menguji kelengkapan mereka untuk aktiviti malam nanti. Mereka juga banyak membantu kami yang kurang berpengalaman mengendalikan majlis seumpama ini.

Jam 4.45 petang, penduduk dah mula ramai. Budak-budak pun ada. Penduduk FELDA ini sangat baik hati dan menyokong program kami. Ramai juga ibu-ibu yang baru balik dari majlis, tak sempat tukar baju. Terus ke mari dengan baju kurungnya. Suasana jadi meriah dengan sorakan-sorakan. Bukan setakat penduduk dan ibu-ibu, malah team PA system juga tak terkecuali menyertai sukaneka.
Sesi memanaskan badan untuk kanak-kanak.
Permainan bola batik.
Macam-macam acara kami adakan. Cari gula-gula dalam tepung, music chair, lari kaki tiga, masukkan air dalam botol, dan yang paling menarik, bola batik. Penyertaan penduduk sangat menggalakkan. Program tamat pada kira-kira jam 6.30 petang. Hadiah disampaikan oleh Cik Ayu, kaunselor kami merangkap pensyarah yang sering bersama kami dalam setiap acara.
Team bola batik lelaki.
Pertandingan lari kaki tiga.
Penyampaian hadiah.
Selesai sukaneka, kami membuat sedikit perbincangan untuk aktiviti persembahan malam sebelum kembali ke rumah masing-masing. Kami balik agak lewat, kira-kira jam 7.15 malam. Ayah angkat kami dah pergi ke masjid dah. Tak dapat kami mengikut.

Selesai solat, kami duduk menikmati makan malam bersama ayah dan ibu angkat.

Kira-kira jam 8.15 malam, kami sudah bergerak kembali ke dewan. Banyak perkara yang perlu dipersiapkan, terutamanya berkaitan persembahan yang akan diadakan pada malamnya.
Sibuk membuat persiapan.
Jam 9 malam, penduduk sudah mula memenuhi ruang dewan terbuka. Kami para pelajar menyediakan 3 persembahan, iaitu lakonan, tarian dan persembahan 10 budak hitam (mana datang entah idea tu). Selain itu, ada jugak cabutan bertuah untuk mereka yang hadir. Kami sediakan lebih 20 hamper untuk cabutan bertuah ini. Selesai persembahan, ada pula sesi karaoke. Set PA system pun disewa oleh pengurusan FELDA, khas untuk kami. Terima kasih banyak-banyak diucapkan.
Team PA system.
Persembahan tarian.
Tarian lagi.
Persembahan lakonan pelajar lelaki.
Persembahan kami.
Pengalaman yang tak dapat dilupakan. Buat pertama kalinya saya berpeluang buat persembahan karaoke secara solo, atas pentas di depan orang ramai. Selama ini cuma menyanyi di karaoke jambanan sekitar Batu Pahat. Lagu pilihan ialah lagu nyanyian Dwen – Satu Penantian. (Lirik, klik sini.)

Sebak rasa bila nyanyi lagu ni. Untuk pengetahuan, lagu ni ialah lagu kenangan dengan seseorang yang dah pergi buat selamanya. Bila dengar lagu ni, teringat balik kenangan-kenangan lama. Sadis betul. Al-Fatihah.
Gila. haha. *snapshot from video.
Selain saya, kawan-kawan lain pun ada jugak yang turut nyanyi. Pelajar kelas BC3, walaupun tak berkaraoke, tapi mereka turut serta naik ke pentas bersama mereka yang menyanyi. Ada yang buat gaya kipas, ada yang hantar bunga. Pendek kata, seronok bersama mereka ni. Entah kenapa, penduduk FELDA ni tak ramai yang menyanyi sekali, cuma 2 orang. Mungkin mereka dah biasa berkaraoke, jadi kali ini mereka nak dengar kami pula yang buat persembahan. Haha.
Pelajar BC pun turut sama sertai persembahan. =)
Persembahan wakil penduduk.
Penyampaian cabutan bertuah.
Majlis selesai kira-kira jam 11.50 malam. Tapi banyak persediaan yang perlu dibuat untuk majlis penutup keesokannya. Lewat kami balik malam itu, kira-kira jam 12.50 pagi. Semua orang dah tidur bila kami sampai di rumah.


Ahad – 23 September 2012

Hari terakhir kami di Nitar 2. Seawal jam 8.00 pagi kami sudah bergerak ke rumah keluarga angkat Cik Ayu untuk mengambil laptop sebelum ke dewan, sebab laptop saya takda software untuk buat video.

Jam 9 pagi, kami menjalankan sesi refleksi untuk program BIG ini. Turut bersama kami ialah wartawan daripada Berita Harian cawangan Mersing, Encik Mohd Sah.

Persiapan untuk majlis penutup. Pertama kali bagi saya memasang PA system sendiri. Nasib baiklah ada seorang rakan yang turut sama membantu. Tapi disebabkan saya tak ada pengalaman, akhirnya terpaksa juga meminta bantuan penduduk sekali lagi.

Hari ini juga jadi saksi satu peristiwa yang takkan dilupakan di sini. Tiub motor bocor, mungkin kerana naik berdua dan terlalu terbeban. Kemudian, Hasiff pergi ke kedai untuk tukar tiub baru. Kami memang tak beritahu ayah angkat kami sebab taknak dia risau. Niat kami nak beritahu selepas baiki. Tapi kebetulan anak ayah angkat kami datang ke kedai tu untuk beli topup. Kantoi jugak akhirnya.

Jam 10.30 pagi, kawasan dewan dah mula sibuk. Lori kambing golek dah sampai dan mula setup barang mereka. Sepatutnya ketika tu kami dah balik rumah dan kemas apa yang patut. Tapi terpaksa la tunggu dan buat semuanya sampai siap. Sekurang-kurangnya, mereka yang datang awal masa majlis nanti boleh terus mulakan.

Jam 11 pagi kami balik ke rumah. Bersiap-siap mengemas apa yang patut. Sayu pulak nak tinggalkan keluarga angkat di sini.

Setibanya di dewan, kebetulan pengacara majlis baru mengumumkan ucapan Pengerusi. Berlari-lari saya dari belakang dewan, terus ambil teks dan pergi depan. Cuak. Pertama kali bagi saya berucap di depan orang ramai. Nasib baik tak pengsan. Haha.

Majlis penyerahan semula anak angkat. Sayu suasana ketika ini. Pada masa ni, setiap ayah angkat dipanggil dan anak angkat akan ikut ke depan untuk menyampaikan cenderamata untuk keluarga angkat mereka. Saya sengaja letak lagu yang sayu-sayu sikit. Niatnya saja nak buat suasana sayu sikit. Akhirnya diri sendiri terkena bila tiba giliran kami ke depan.

*Suasana terlalu sayu sampaikan photographer tak sempat snap banyak gambar.
Penyampaian cenderamata untuk IPG.
Penyampaian hadiah daripada FELDA untuk pensyarah.
Encik Shuhaimi.
Seterusnya, semua hadirin menjamu selera dengan hidangan yang disediakan oleh penduduk FELDA. Ada 2 ekor kambing golek yang mereka tempah khas untuk majlis kami. Entah berapa banyak perbelanjaan mereka. Terima kasih banyak-banyak diucapkan.

Tamat majlis. Semua pelajar membantu penduduk mengemas semula dewan yang telah kami gunakan. Kemudian, pelajar muslim menunaikan solat di bilik yang disediakan.

Jam 2.30 petang. Tiba saat untuk berangkat balik. Kami membuat satu barisan panjang dan bersalaman antara penduduk dengan pelajar. Betul-betul sayu, lagi-lagi bila ramai yang mula menangis sebab tak mahu berpisah.
Berbaris untuk bersalam dengan anak angkat.
Semua sedih nak balik.
Bersalam-salaman dengan penduduk.
Jam 3 petang. Bas bergerak meninggalkan FELDA Nitar 2.
Selamat tinggal semua. Panjang umur kita jumpa lagi.

********************

Tamatlah program kami kali ini. Tinggallah kenangan-kenangan kami di sana. Kenangan keluarga angkat, kenangan tiub bocor, kenangan bayam merah, harapnya tumbuh subur lah pokok bayam merah yang kami tanam itu nanti supaya boleh menjadi tanda kenangan kehadiran kami ke sini.

Betullah. Penduduk di sini sangat mesra. Walaupun Cuma 3 hari di sini bersama keluarga angkat, masing-masing sudah anggap kami seperti keluarga sendiri. Makan sentiasa cukup, tempat tidur selesa, malah baju pun dibasuhkan. Tak hairanlah saat berpisah sangat menyedihkan mereka sampaikan ada yang mengalirkan air mata, termasuklah penulis ni. Entah. Sejak akhir-akhir ni jiwa memang agak mudah tersentuh, ada gangguan emosi agaknya. Yeah. I admit that.

Sekali sekala terfikir kata-kata ayah angkat sewaktu kami ke Mersing pada hari kedua. Sepatutnya kami perlu tambah satu hari dan berikan hari itu sepenuhnya untuk bersama keluarga angkat masing-masing. Tapi apa boleh buat. Kekangan masa dan komitmen terhadap benda lain menjadi penghalang untuk memanjangkan masa program. InsyaAllah, lain kali kami datang lagi menjenguk semua di sini.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa program Bina Insan Guru Fasa 4, jawatankuasa induk, jawatankuasa Fasa, ahli-ahli jawatankuasa, pensyarah-pensyarah terlibat, terutamanya Cik Ayu yang sentiasa bersama kami dan membantu dalam banyak perkara, peserta-peserta BIG Fasa 4 dan mereka yang turut terlibat secara langsung mahupun tak langsung dalam pelaksanaan program BIG ini.

Juga, jutaan terima kasih buat seluruh warga FELDA Nitar 2, Mersing, Johor kerana telah sudi menerima kehadiran kami ke sana. Sambutan yang kami terima sangat tidak terduga dan sangat istimewa buat kami. Segala jasa yang telah diberikan tak mampu untuk kami balas dengan kata-kata dan wang ringgit. Segala kekurangan daripada pihak kami harap dapat dimaafkan.

Bunga melur di hujung dahan,
Bunga kemboja putih berseri,
Terima kasih kami ucapkan,
Atas kerjasama yang telah diberi.

Semoga hubungan baik yang telah terjalin antara peserta dan juga dengan ibu bapa angkat kita di sana berterusan sampai bila-bila dan tidak setakat tamat di sini. InsyaAllah, ada masa nanti, kami akan ke sana lagi. 



FELDA Nitar 2 dalam kenangan. Terima kasih semua. =)



3 comments:

♥nrina♥ said...

salam ziarah...

Banyaknye aktiviti hehe..

Hazman Amini said...

Terima kasih sebab sudi baca.. hehe.. orang Nitar ye? :)

Anonymous said...

agak2 nak pinjam utk refleksi BIG boleh x..hehe