Penulis tidak bertanggungjawab atas segala kesulitan yang timbul akibat daripada penggunaan sebarang bahan dalam blog ini. Sebarang maklumat yang tercatat dalam blog ini adalah hampir tepat pada tarikh penulisan tetapi mungkin berubah mengikut keadaan semasa.

Sekiranya ada sebarang pertanyaan yang berkaitan, sila tuliskan di ruangan komen atau e-melkan kepada penulis. Komen anonymous dibenarkan, tetapi anda digalakkan untuk meninggalkan komen dengan mendaftar masuk akaun Google atau Blogger masing-masing.

Sebarang komen yang tidak berpatutan atau difikirkan tidak sesuai akan dibuang selaras dengan Akta Keterangan (pindaan 2012) di mana pemilik blog bertanggungjawab terhadap segala komen yang disiarkan. Terima kasih. =)

Friday, July 10, 2015

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Salam Ramadhan 1436 Hijrah yang hampir sampai ke penghujung. Moga dikurniakan kekuatan untuk terus bersama Ramadhan ini sampai ke akhirnya.

Hari ini 10 Julai 2015, dah lebih 8 bulan rasanya blog ni tersadai. Banyak yang nak ditulis, tapi disebabkan kekangan masa, akhirnya semua disimpan sebagai draf.

Buat pengetahuan, saya dah pun selesai menamatkan pengajian di IPG Kampus Tun Hussein Onn, Batu Pahat pada penghujung tahun lepas. Alhamdulillah, 5 tahun setengah di sana banyak mengajar saya tentang pelbagai perkara. Masa mendaftar dulu, 5 tahun tu nampak macam satu tempoh yang sangat lama. Tapi bila direnungkan semula, rasa tempoh tu seolah-olah terlalu singkat, dan hari ini tempat itu dah pun saya tinggalkan, membawa bersama seribu satu kenangan yang tak mungkin dilupakan.

Buat pengetahuan, saya telah pun berkhidmat di sebuah sekolah rendah di selatan tanah air bermula pada 29 Januari yang lalu. Di sini boleh dikatakan terkenal dengan kos sara hidup yang tinggi. Rumah di sini semuanya mahal-mahal, sama ada nak beli atau nak sewa. Jarak rumah ke sekolah saya adalah sekitar 7 hingga 8 kilometer. Perjalanan sehala ambil masa kira-kira 25 minit pada waktu biasa tapi menjadi 1 jam pada waktu puncak.

Secara ringkasnya, sekolah tempat saya berkhidmat ini ada dua sesi dan saya mengajar di sesi sebelah petang. Subjek yang diajar ialah Bahasa Melayu dan Sains, terus lari dari opsyen pengajian di IPG dulu. Sekolah di bandar ni agak mencabar, pantang silap sikit dan cikgu-cikgu akan jadi tempat lepas geram oleh ibu bapa. Alhamdulillah dikurniakan cikgu-cikgu lama dan rakan-rakan sekerja yang baik hati dan banyak membantu, banyak memberi semangat waktu diperlukan.

InsyaAllah, mohon doakan supaya diberi kesempatan untuk terus menulis di sini seperti dulu.


Friday, November 7, 2014



Sejenak itu aku menyedari,
betapa sayangnya aku...




Monday, September 8, 2014

Memori Singapura | 18 Ogos 2014



Perjalanan yang tak terancang. Semua gara-gara kelas ganti hari Sabtu yang tiba-tiba muncul, tapi alhamdulillah akhirnya semua kelas yang ada pada hari itu dibatalkan. Kesannya, lagi 3 hari nak pergi, baru buat keputusan, buat passport dan rancang semuanya.

Singapura. Tak pernah terfikir langsung nak jejakkan kaki ke negara seberang tambak ni walaupun dah bermastautin di Johor sejak lahir dan belajar kat Johor Bahru selama 2 tahun. Tukaran duit agak tinggi, memang tak mampu kalau nak pergi sendiri. Rezeki adik saya dapat bekerja kat sana, maka dapatlah kami jalan-jalan kat sana sekali.
Menghampiri Tuas Checkpoint. Bermula tar yang baru tu
adalah kawasan Singapura.
Passport. Saya pilih untuk buat passport 2 tahun dengan bayaran RM100. Ini yang minimum. Cukuplah. kalau lain kali nak pergi luar negara lagi, boleh buat lagi sebab masa tu dah kerja insyaAllah.
Yeah!
Kami ke sana bertiga. Saya, adik dan jiran merangkap kawan baik sejak kecil lagi. Naik kereta milik kawan adik saya sebab kereta tu dah siap ada autopass, jadi kami tak perlu buat daftar baru lagi. Kami masuk lalu checkpoint Gelang Patah/Tuas waktu tengah hari dan keluar lalu Tambak Johor pada sebelah malam. Waktu masuk ke sana, kena isi white card (borang yang boleh diambil kat checkpoint) dan simpan keratan yang diberi untuk diserahkan masa keluar balik ke Malaysia nanti.
White card yang perlu diisi.
Singapura sebuah negara yang menarik kalau nak dilawati. Banyak tempat-tempat yang kita boleh pergi. Pendek kata kalau pergi satu hari memang tak cukup. Dan untuk bergerak kat sana pun agak mudah sebab coverage pengangkutan awam agak menyeluruh. Apa pun, Malaysia tetap menarik sebab ada macam-macam lagi tempat yang lagi menarik.

Satu yang saya suka tengok di Singapura ni ialah sistem jalan raya di sana. Jalan raya agak luas dan cantik. Kalau kat Malaysia mungkin kita takkan jumpa lebuhraya 12 lorong (6 lorong setiap hala) tapi kat sini ada. Itu pun masih sesak kalau hari biasa. Kat Malaysia paling besar pun 8 lorong je. Setakat terowong memang banyak kat sini. Terowong yang berkilometer-kilometer panjang pun ada.
Perhatikan lebuhraya di sana yang sangat luas.
Terowong lima lorong.
Sistem bayaran tol kat Singapura pun sangat maju. Diorang tak ada pondok tol macam di Malaysia. Semuanya dikutip secara elektronik menggunakan sistem yang dipanggil ERP (electronic road pricing). Semua kenderaan yang melalui jalan raya di Singapura kena daftar dengan sistem ni. Sistemnya lebih kurang sama macam sistem SmartTag kat Malaysia, cuma ERP ni berkemampuan untuk kesan kenderaan walaupun dipandu laju. Tolnya cuma berupa gantri (ada papan tanda tertulis ERP) dan tak ada lorong khusus dan palang macam Malaysia, jadi tak ada kesesakan akibat berhenti membayar tol. Dan satu lagi kelebihannya ialah ERP ni diaktifkan pada waktu tertentu je, contohnya waktu puncak dan pengguna yang lalu waktu tu je yang akan dicaj. Tapi tak boleh salahkan Malaysia yang tak implement benda ni sebab rakyat Malaysia sendiri pun memang bermasalah kalau nak buat sistem baru macam ni.
Salah satu tol ERP. Kalau papan tanda elektronik tu
hidup, maknanya ERP tu aktif.
Sistem jalan raya diorang jugak mengutamakan pejalan kaki. Hampir setiap simpang dan lampu isyarat ada lintasan pejalan kaki, dan kat sesetengah tempat, kenderaan bermotor perlu berhenti dan bagi laluan pejalan kaki melintas. Boleh kena saman kalau tak berhenti.
Awas pejalan kaki melintas.
Sistem pengangkutan pun agak baik. Hampir setiap tempat kami jumpa stesen MRT atau sekurang-kurangnya stesen bas. Rakyat kat sana memang banyak bergantung pada pengangkutan awam untuk pergi kerja dan sebagainya.
Singapore MRT. Macam LRT kat KL nun.
Bas panjang. Tak sempat snap gamba penuh dia.
Tempat pertama yang kami pergi ialah Merlion. Patung singa yang boleh pancut air tu. Selama ni tengok dalam gambar je. Tak sangka dapat jugak tengok depan mata sendiri.
Singa Merlion. Selalunya tengok dalam gambar je.
Lepak kat sebelah Esplanade.
Bangunan Esplanade yang rupa macam durian.
Masa kami sampai kat sini, orang tengah ramai. Jadi terpaksa selit-selit celah orang dan cepat-cepat ambil gambar bila dapat peluang.
Ramai betul orang.
Kat atas bangunan tu ada kolam renang.
Masa nak ke Merlion tu kami parking kereta dalam Marina Square. Jadi secara tak langsung kami jalan-jalan jugak dalam tu. Besar betul sampai kami sesat masa nak balik ke kereta semula.
Marina Square.
Kami pergi jugak ke Masjid Sultan kat Kampung Glam untuk solat. Masjid ni adalah antara bangunan yang bersejarah di Singapura dan masih beroperasi sampai hari ni.
Masjid Sultan
Masjid Sultan
Bahagian dalam.
Jalan kaki sikit kat sebelah Masjid Sultan ni ada kedai makan Zam Zam. Kat sini terkenal dengan murtabak Singapura yang sedap tu.
Pandangan depan kedai.
Murtabak sardin, ayam, kambing
Dan hampir lewat petang hingga malam kami ke Mount Faber. Kat sini boleh tengok pemandangan indah bandar Singapura dari atas. Tak tinggi sangat pun, lebih kurang macam bukit Soga kat Batu Pahat nun.
Pemandangan bandar Singapura.
Dah malam.
Kat Mount Faber ni jugak terletaknya stesen kereta kabel untuk ke Pulau Sentosa. Bayaran sehala sebanyak SGD29. Laluan kereta kabel ni akan melalui kawasan hutan, melintasi lebuhraya pada ketinggian berapa tingkat entah, dan seterusnya masuk ke dalam bangunan. Lepas tu baru dia lintas laut ke Pulau Sentosa. Tapi yang ni kami tak sempat naik sebab dah malam.
Perhatikan kereta kabel tu melintas lebuhraya di depan.
Kereta kabel.
Masuk dalam bangunan.
Menara penyokong. Tinggi betul.
Kali ni memang tak sempat nak naik kereta kabel ni. Teringin jugak. InsyaAllah lain kali kalau ke sana nak jugak cuba naik kereta kabel ni.
Faber Peak. Kat sini terletaknya stesen
kereta kabel ke Pulau Sentosa.
Cerita pasal Faber Peak ni tiba-tiba teringat tentang tandas. Kalau sesiapa yang pernah pergi ke Singapura, pasti mereka tahu betapa susah nak cari tandas yang ada paip air. Biasanya yang ada tandas adalah tandas masjid. Kat Faber Peak ni pun ada tandas yang ada bekalan air, tapi cuma satu je yang ada daripada tiga cubical tu.

Faber Peak adalah destinasi terakhir kami sebelum kami bergerak balik ke Malaysia. Kali ni kami keluar lalu Woodlands Checkpoint atau Tambak Johor.

InsyaAllah kalau ada kesempatan, teringin nak pergi ke sana lagi.


Thursday, September 4, 2014

SK Ledang Dalam Kenangan

Praktikum 3. Praktikum paling panjang dan yang terakhir buat kami sepanjang pengajian kami di sini, dan tentunya praktikum yang paling bermakna.

Saya selesai menjalani praktikum terakhir ni pada April yang lalu. Tapi sengaja saya bawa penulisan ni ke bulan ni.

Praktikum terakhir ni berjalan selama 12 minggu, bermula dari Januari sehingga April. Sekolah pilihan kali ni ialah Sekolah Kebangsaan Ledang di Tangkak, Johor. Seterusnya, episod praktikum ni bersambung dengan sekuelnya iaitu internship selama 4 minggu antara Julai hingga Ogos baru-baru ni di sekolah yang sama.
Perhimpunan mingguan.
Sebenarnya sebelum ini saya dah pernah ke sekolah ini semasa menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) yang kedua pada penggal kedua tahun 2011. Kalau anda ikuti blog ini sejak 2011, mungkin anda perasan entri yang pernah saya tulis dulu.
Sekolah Kebangsaan Ledang. Antara sekolah tertua di bandar Tangkak. Letaknya kira-kira 3 kilometer dari rumah saya. Jarak yang tak begitu jauh, tapi perlu melintasi bandar Tangkak yang agak sibuk pada waktu pagi dari hujung ke hujung. Guru besar sekolah ini ialah Pn Hjh Noraini Hayati binti Ahmad, merangkap jiran saya di rumah. Jumlah murid sekolah ni tak begitu ramai, lebih kurang 560 orang je pada saat kami tiba di sini. Setiap tahun ada purata sebanyak 3 kelas. Sekolah ni juga ada kelas Pendidikan Khas di mana adik saya adalah salah seorang murid di kelas Pendidikan Khas di sini. Bila fikir balik baru perasan, sekolah yang saya pergi untuk praktikum semua ada kelas Pendidikan Khas.
Jualan sempena Minggu Jalinan Kasih bersama kelas
Pendidikan Khas.
Untuk praktikum kali ni agak berbeza. Saya tak lagi berpraktikum bersama kawan-kawan praktikum yang sama dengan praktikum lalu. Tak ada lagi Hazirah dan Nadiah, kawan baik yang dulu selalu tolong masa susah atau masa serabut sebab pensyarah datang, yang selalu gelak sama-sama masa senang, yang setia praktikum sama-sama dari praktikum pertama di Parit Bilal sampailah ke praktikum kedua di Parit Raja. Masing-masing dah bawak diri ke tempat lain. Hazirah dah ke Kluang, tempat lamanya bersama kawan baiknya. Manakala Nadiah juga sama praktikum di Tangkak, cuma dia berpraktikum di sekolah lain bersama dengan kawan saya yang baik juga. Sorang lagi, Irwan dah bawak diri ke Segamat bersama kawan-kawan praktikum baru dia yang baik (haha). Oh, lupa.. saat entri ni ditulis, Nadiah dah tamatkan zaman bujang, dan ada kurang dua minggu lagi sebelum kami serbu rumah lelaki untuk majlis sebelah situ. Tahniah. Doakan kitorang pulak ye.

Praktikum kali ni saya bersama kawan-kawan yang semuanya baru, tak ada yang bawak dari sekolah praktikum lama. Jumlah kami semuanya lima orang. Hafiz dari opsyen TESL (bahasa Inggeris), Ismail, kawan sama opsyen yang sanggup jalan jauh hampir 70km sehari, serta Ainaa dan Shahira dari opsyen Prasekolah. Geng baru ni tak kurang jugak hebatnya, boleh membuatkan pancreas pecah sebab gelak tiap-tiap hari.
Bergambar bersama guru besar. Dari kiri:
Hafiz, Ismail, Ainaa, Pn Hjh Noraini Hayati, Shahira, penulis
Sekolah kali ni tak begitu besar. Cuma ada dua blok 4 tingkat yang bersambungan, dua blok 2 tingkat (termasuk Pendidikan Khas), satu blok setingkat dan kantin. Pergerakan di sekolah ni agak mudah sebab bloknya terletak tak begitu jauh antara satu sama lain. Sekolah ni juga ada sebuah dewan besar, menjadikan sekolah ni selalu terpilih untuk acara-acara berkaitan seperti MTQ daerah dan lain-lain. Tak seperti dua sekolah sebelum ni, sekolah kali ni cuma ada satu bilik guru sahaja.
Sesi 1 Murid 1 Sukan.
Satu yang menarik perhatian saya ialah terdapatnya kawasan pertanian di depan bengkel Kemahiran Hidup sekolah ni. Dan tanaman di situ semuanya diusahakan oleh cikgu yang menjaga bengkel tu sendiri iaitu cikgu Alias.
Kawasan tanaman di depan bengkel.
Paling unik ialah sebab padang sekolah ni luas, tapi dikongsi bersama Sekolah Menengah Kebangsaan Ledang (SMKL) yang terletak bersebelahan. Bila waktu Pendidikan Jasmani waktu pagi ataupun waktu satu murid satu sukan pada pagi Selasa, padang ni akan jadi meriah sebab sekolah menengah dan sekolah rendah akan sama-sama guna padang tu.
Padang sekolah. Yang baju merah belakang tu
pelajar sekolah menengah.
Waktu persekolahan di sini bermula pada jam 7.20 pagi dan tamat pada 1.10 tengah hari. Tapi kebiasaannya jam 7.10 pagi, murid-murid dah mula berbaris di dataran. Cikgu-cikgu di sini sangat ramah. Kalau jumpa mesti ada saja benda yang nak buat bahan berbual dan ketawa, atau paling kurang pun senyum. Rasanya tak jumpa cikgu-cikgu yang sombong di sini. Alhamdulillah, rasa seronok dapat menyertai sekolah yang mesra dan mudah bekerjasama. Tak kira dari peringkat atasan, pentadbiran, cikgu-cikgu malah pekerja-pekerja kat sini pun sangat baik. Kami pun tak terasa langsung bahawa kami datang sebagai guru praktikum sebab guru-guru di sini layan kami macam kawan-kawan dan anak-anak mereka sendiri seolah-olah kami dah kenal lama dengan mereka.

Di sekolah ni buat pertama kalinya saya guna sistem punch card waktu datang dan balik sekolah. Sebelum ni kat Parit Bilal dan Parit Raja, kedua-duanya tulis dalam buku je.
Punch card.

Praktikum

Secara rasminya, kami menjalani praktikum terakhir ini bermula pada 26 Januari hingga 24 April 2014. Untuk praktikum kali ni, saya diberikan 10 masa mengajar iaitu 6 masa Kemahiran Hidup, dan 4 masa untuk Bahasa Melayu. Saya mengajar 2 kelas tahun 4 (4A dan 4B) dan kelas tahun 5A bagi Kemahiran hidup manakala bagi Bahasa Melayu, saya diberikan kelas 3A.
Mengajar KH tahun 5.
Di sini, kami diberikan seorang guru pembimbing. Cikgu Hasidah namanya. Beliau jadi guru pembimbing saya bagi subjek Kemahiran Hidup dan Bahasa Melayu sekaligus. Banyak yang beliau tolong saya terutamanya dari segi pemantauan mengajar.

Murid-murid di sini agak berbeza dengan murid-murid di sekolah terdahulu. Kadang-kadang sampai timbul kes-kes yang mengerikan. Mungkin pengaruh media massa seperti internet dan sebagainya. Tapi apa pun, murid-murid di sini saya suka sebab agak sporting dan mudah menolong cikgu-cikgu yang meminta bantuan. Sampaikan ada yang kami tak mintak tolong pun tapi dia yang datang dan suruh kami mintak tolong dia.
Tunggu giliran nak tolong mengecat.
Dan alhamdulillah juga saya dapat pensyarah pembimbing yang baik dan memahami. Puan Fuziah memantau saya untuk subjek Kemahiran Hidup manakala Bahasa Melayu dipantau oleh Puan Idawati. Kalau ikutkan, saya mengajar bukanlah baik pun, tapi akhirnya masih dapat markah yang agak baik daripada mereka. Siap dapat tips untuk atasi masalah yang ada tu.

Internship

Internship kami berlangsung pada 6 Julai sehingga 7 Ogos 2014, iaitu selama 4 minggu. Sepanjang internship ini, kami diminta oleh unit praktikum untuk melaksanakan 3 projek setiap seorang di sekolah masing-masing. Selain tu, kami juga perlu gunakan masa ini untuk menjalankan kutipan data bagi kajian tindakan kami.

Untuk internship ni, dua daripada projek saya ialah projek mural. Projek pertama di bengkel Kemahiran Hidup sebanyak 4 mural manakala projek kedua ialah di tandas sebanyak 5 mural. Alhamdulillah jugak Allah SWT bagi kebolehan untuk lukis sikit-sikit di atas dinding. Projek saya ni banyak dibantu oleh kawan-kawan praktikum yang tak jemu-jemu datang tolong mengecat dan sebagainya. Kawan-kawan lain turut buat projek untuk bengbkel Kemahiran Hidup ni. Kiranya bengkel ni memang berubah habis lah wajahnya.
Awas cat belum kering.
Kami cat mural di sepanjang dinding ini.
Satu lagi projek saya ialah program Tazkirah Pagi. Secara kebetulan, kehadiran kami untuk internship ini adalah pada bulan Ramadhan yang mulia. Oleh itu, saya telah mengambil kesempatan ni untuk membuat program tazkirah Ramadhan sebagai projek saya. Program ni berlangsung pada waktu pagi, dimulakan dengan bacaan Asma-ul-Husna, diikuti dengan bacaan teks tazkirah yang saya sediakan sendiri oleh murid terpilih dan seterusnya soalan kuiz. Bacaan Asma-ul-Husna tu pada awalnya saya nak batalkan memandangkan masa perhimpunan pagi yang agak pendek (bukan perhimpunan pun sebenarnya sebaliknya cuma murid berkumpul sebelum bergerak masuk ke kelas). Tapi atas permintaan ustaz di sini, saya teruskan juga sebab katanya dah lama tak diamalkan bacaan Asma-ul Husna ni sebab dah terlalu banyak program yang dirancang untuk sekolah. Terima kasih banyak-banyak kepada Ustaz Zul. Beliau sangat banyak membantu program ni, tolong hidupkan PA sistem dan mainkan Asma-ul-Husna sebab saya selalu datang lambat.
Seorang murid sedang membacakan teks tazkirah.
Secara keseluruhan, saya rasa seronok di sini. Suasananya, ragam  penghuninya, sedikit sebanyak dapat buat saya gembira. Banyak benda yang saya belajar di sini. Saya belajar kenal hati budi orang. Saya belajar tentang urus acara. Saya belajar tentang kertas kerja. Banyak. Tak tersenarai semuanya di sini rasanya. Banyak acara yang kami terlibat dari peringkat sekolah hinggalah ke peringkat daerah yang diadakan di sini.
Jumpa gambar ni dalam komputer sekolah. Gambar masa
karnival MTQ daerah. Yang kiri tu Izati. Yang tudung pink kat
 tengah tu Nadiah.
Satu yang saya perhatikan ialah cikgu-cikgu di sekolah ni rajin-rajin belaka. Cikgu Alias rajin mengusahakan tanaman depan bengkel. Ustaz Zul dan cikgu Lokman rajin buat kerja pertukangan sampaikan hampir setiap hari ada saja kerja tukang yang mereka buat. Banyak hasil tukang mereka di sekolah ni. Cikgu-cikgu di bilik guru juga saya perhatikan selalu sibuk dengan kerja masing-masing sama ada sediakan hiasan dan bahan untuk bilik-bilik khas, buat soalan latihan, dan lain-lain kerja lagi. Tapi walaupun masing-masing tak lekang dengan kerja, mereka masih lagi murah dengan senyuman dan masih berkesempatan nak beramah mesra dengan kami dan buat kami seronok di sini.
Ustaz Zul dan cikgu Lokman sedang siapkan hiasan pentas
untuk MTQ daerah.
Hiasan yang dah siap.
Di kesempatan ni saya nak ucapkan ribuan terima kasih kepada semua. Terima kasih kepada kawan-kawan praktikum, Hafiz, Ismail, Ainaa dan Shahira yang selalu bersama waktu senang dan susah. Terima kasih pada semua guru-guru dan staf Sekolah Kebangsaan Ledang yang ramah dan mesra serta selalu buat kami gembira di sini. Terima kasih kepada Ustaz Zul yang banyak tolong jayakan program pagi saya, cikgu Alias yang sudi bagi kami gunakan bengkelnya sesuka hati dan selalu bagi hasil tanaman yang beliau usahakan di kebun depan bengkel. Terima kasih cikgu Azimah yang selalu setia mendengar bila saya ada masalah. Cikgu Hanafiah yang selalu ambil gambar program sama-sama. Terima kasih buat semua guru-guru dan staf-staf sekolah yang banyak membantu dan buat saya sentiasa tersenyum. Terima kasih murid-murid yang juga banyak bagi kerjasama. Moga Allah SWT memberkati kalian semua.
Barisan guru-guru SK Ledang, Tangkak, Johor
Maaf salah silap, terkasar bahasa sepanjang saya berada di sini. Panjang umur insyaAllah kita jumpa lagi.

SK Ledang dalam kenangan. :)



Friday, March 7, 2014

Kawasan Perkelahan Jeram Tinggi, Jementah, Segamat

Terletak berhampiran bandar Jementah di daerah Segamat Johor, kawasan perkelahan Jeram Tinggi merupakan salah satu air terjun yang terdapat di sekitar kawasan Taman Negara Johor Gunung Ledang selain Air Terjun Gunung Ledang di Sagil dan Air Terjun Asahan di Asahan, Johor. Namanya tak sepopular dua air terjun berkenaan yang lebih besar, tapi tempat ni juga tak kurang menariknya untuk dikunjungi bersama keluarga.
Kawasan jeram untuk mandi manda.
Walaupun mengalir dari Gunung Ledang di daerah Ledang, kawasan ini dikendalikan oleh Majlis Daerah Segamat (MDS). Tak seperti air terjun di Sagil, kawasan ini tak dikenakan sebarang bayaran kepada pengunjung. Kawasan perkelahan ni terletak betul-betul di sempadan Taman Negara Johor Gunung Ledang. Di sini juga merupakan titik permulaan bagi salah satu trek pendakian Gunung Ledang yang dipanggil Ledang via Jementah (LVJ).
Sempadan Taman Negara Johor Gunung Ledang.
Meredah hutan selama kira-kira 40 minit hingga satu jam (mengikut kemampuan) dari kawasan tempat letak kereta ini, pengunjung boleh menikmati keindahan Air Terjun Jeram Tinggi yang cantik dan masih belum terusik di tengah hutan simpan.
Air Terjun Jeram Tinggi
(sumber pic: http://waterfallsofmalaysia.com/d.php )
Tapi perlu diingat, air terjun ini terletak dalam kawasan Taman Negara Johor Gunung Ledang, dan pengunjung perlu mendapatkan kebenaran daripada Perbadanan Taman Negara Johor sebelum melakukan sebarang aktiviti trekking ke air terjun ni. Bagi yang berminat boleh hubungi nombor hotline PTNJ atau berjumpa dengan Encik Aziz yang selalu berada di kawasan ini. Beliau seorang yang baik hati dan sedia untuk membantu sekiranya ada kumpulan yang ingin ke sana. Kadar bayaran permit dan sebagainya boleh rujuk di laman blog Taman Negara Gunung Ledang.
Dilarang masuk tanpa kebenaran.
Bagi yang sekadar nak bersantai di hujung minggu bersama keluarga, anda boleh mandi di jeram sekitar kawasan letak kereta ini. Kawasannya agak selesa dan bersih kerana tak begitu ramai pengunjung yang datang ke mari. Tapi air sungainya mungkin agak kurang memuaskan bagi orang dewasa kerana airnya yang tak sebegitu dalam. Sekurang-kurangnya, kawasan ini selamat bagi mereka yang nak bawa anak-anak kecil bermandi-manda, insyaAllah.
Kawasan kolam mandi.
Kawasan yang diempang.
Disebabkan bilangan pengunjung yang tak sebegitu ramai, tak banyak kemudahan disediakan di kawasan ni. Antara kemudahan yang ada ialah wakaf rehat, laluan pejalan kaki ke air terjun, tempat letak kereta dan tandas awam. Tak ada kedai-kedai makanan, minuman ataupun cenderamata, tapi bagi saya, kemudahan yang ada ni pun dah mencukupi. Makanan dan minuman boleh dibawa sendiri dari rumah dan itu lebih menyeronokkan.
Kemudahan awam:
1: Tandas awam..  2: Tempat letak kereta..
3. Wakaf rehat..  4. Laluan pejalan kaki..

Panduan bagi mereka yang nak ke sini.

Kawasan ini terletak di kawasan Ulu Jementah. Untuk ke sini, pengunjung perlu melalui FT23 Jalan Muar-Segamat menuju pekan Jementah. Dari arah Tangkak, sebelum memasuki bandar Jementah, belok ke simpang di sebelah kiri (dari Segamat, selepas bandar, belok ke kanan) di Kampung Paya Jakas ke J45 Jalan Loji Air.
Peta ke Jeram Tinggi (klik untuk tumbesaran)
Jalan ni merupakan jalan dua lorong dua hala yang agak kecil, muat-muat untuk kereta lalu bagi setiap lorong.
Jalan Loji Air J45, Jementah
Kira-kira 800 meter kemudian, anda akan nampak Loji Air Jementah di sebelah kanan.
Loji Rawatan Air Jementah, Segamat
Di hadapan sedikit, jalan terpecah dua. Ambil arah ke kanan. Bermula di sini, jala berubah kepada jalan kampung selorong. Jangan risau, papan tanda disediakan di sepanjang jalan. Ikut arah yang ditunjukkan papan tanda. Hati-hati semasa berselisih dengan kenderaan yang datang dari hadapan.
Kanan, kiri dan kiri lagi.
Semakin dalam, rumah penduduk makin kurang. Akhirnya jalan ni cuma menyusuri kebun-kebun buah-buahan dan kebun getah. Teruskan perjalanan lagi.

Kira-kira 3 kilometer menyusuri jalan kampung, anda akan tiba di selekoh yang curam ni.
Curam dan berselekoh. Hati-hati di sini.
Kalau anda tiba di sini, maksudnya anda dah tak jauh lagi. Menuruni bukit curam ni dan kemudian mendaki semula di sebelah sana kira-kira 300 meter, anda akan tiba di kawasan perkelahan tersebut. Sebagai panduan, sekiranya anda datang lebih dari seorang, lebih baik kalau salah seorang turun berjalan kaki dan tinjau kalau-kalau ada kereta yang datang dari depan terlebih dahulu sebab kat sini tak ada tempat untuk berselisih dan bukitnya curam.

Seperti biasa, kalau kunjungi kawasan air terjun seperti ini, pastikan semua sampah yang anda bawa tu dibawa pulang. Jangan tinggalkan sampah dan harapkan alam sekitar yang tak bersalah tu untuk bersihkan bagi pihak anda.

Jagalah alam sekitar kita.