Sambungan daripada entri sebelum ini: Taman Negara Johor Endau Rompin (Selai) Part 1.
Hari Kedua – 19 November 2013
Aktiviti 3 – Trekking ke Takah Berangin dan Takah Pandan.
Seawal jam 7.30 pagi lagi kami sudah berkumpul di kafeteria
untuk bersarapan. Makanan tengah hari turut dibungkus untuk dibawa ke Takah
Berangin.
Sarapan di kafeteria. |
Makanan tengah hari berupa nasi ayam. |
Takah bermaksud air terjun. Di kawasan Endau Rompin Selai
ini, ada beberapa takah yang terkenal iaitu Takah Tinggi, Takah Berangin, Takah
Pandan, Takah Selow (4 tingkat) dan Takah Tempa’ang. Tapi dalam ekspedisi kali
ini kami cuma ke Takah Berangin dan Takah Pandan sahaja kerana masa aktiviti
yang terhad.
Jam 8.30 pagi, kami berkumpul di dewan terbuka bersebelahan
kafeteria untuk sedikit sesi taklimat. Turut diadakan bacaan doa memohon supaya
aktiviti ini berjalan lancar tanpa kejadian yang tak diingini.
Taklimat ringkas. |
Jam 8.50 pagi, kami berkumpul di kawasan light trap malam
tadi berhadapan pintu masuk denai ke air terjun. Kami melakukan sedikit senaman
regangan dan memanaskan badan untuk mengelakkan kecederaan.
Senaman sebelum memulakan aktiviti. |
Perjalanan ke Takah Berangin dimulakan.
Denainya sudah ada,
namun perjalanannya agak mencabar. Pada peringkat awal, denai ini menyusuri
sepanjang tebing Sungai Selai. Denainya turun naik bukit tetapi tak tinggi.
Menurut jurupandu kami, begitulah denainya kalau kita terus ke Takah Tinggi.
Cuma menyusuri tebing sungai sahaja.
Sampai di satu kawasan, kami perlu melintasi satu jambatan
gantung. Jambatan ini tak boleh menampung ramai orang. Jadi kami perlu tunggu
rakan di hadapan lepas dahulu sebelum melintasi jambatan tersebut.
Trek seterusnya masih lagi menyusuri sungai sehinggalah ke
satu simpang tiga. Laluan terus menuju ke Takah Tinggi manakala laluan kami
menuju ke Takah Berangin.
Jambatan goyang-goyang. |
Bermula di sini, laluan terus mendaki bukit yang tinggi.
Agak curam bukitnya dan kami terpaksa berpaut pada pokok-pokok kayu dan tali
yang disediakan untuk mendaki.
Curam oo.. |
Laluan mendaki agak panjang sampaikan saya terfikir, sampai
bila agaknya kami akan mendaki. Rasanya kalau dihitung ketinggian yang kami
daki, mungkin dah sama dengan bangunan 30 tingkat agaknya. Sepanjang pendakian,
tak kelihatan sungai, malah bunyi air terjun pun tak kedengaran.
Pandang belakang. |
Satu yang saya kagum bila melihat beberapa biji tahi gajah
di sepanjang trek mendaki kami. Terfikir juga macam mana gajah-gajah yang berat
ni mendaki trek dengan kecuraman kira-kira 45 darjah sedangkan kami
tercungap-cungap nak mendaki, siap tergelincir lagi. Itulah kebesaran Allah SWT
yang kadang-kadang tak tercapai dek akal kita.
Kami berhenti rehat seketika di persimpangan denai Takah
Pandan dan Takah Berangin selepas pendakian yang panjang. Duduk sekejap sambil
makan coklat dan minum air. Alhamdulillah ada bawa 2 botol air sebab sebotol
memang tak cukup. Apatah lagi di sini tak ada anak sungai untuk ambil air
sepertimana kalau kita mendaki Gunung Ledang.
Simpang Takah Pandan dan Takah Berangin. |
Bermula di sini, kami mula terpecah kepada beberapa
kumpulan. Ada yang terlalu ke hadapan, ada yang terlalu ke belakang. Kumpulan
saya pada masa ni tinggal 6 orang. Syukur, walaupun dah tertinggal, tapi kami
masih dapat cari jalan berdasarkan kesan laluan orang pada daun kering dan
kesan busut pecah ditendang oleh orang di hadapan. Selain tu, guide di hadapan
juga ada tinggalkan tanda-tanda seperti memalang simpang yang tak patut kami
masuk dengan menggunakan kayu. Alhamdulillah kami selamat sampai di Takah
Berangin tanpa kejadian tak diingini.
Geng-geng tertinggal. haha. |
Sampai sekarang tak terjawab persoalan kenapa tali di laluan
yang kami lalui tu tak terusik seolah-olah tak ada orang lalu sebab sarang
anai-anai pada tali tu tak pecah, sedangkan bila saya pegang sikit je dah pecah
sarang tu. Laluannya curam dan agak mustahil untuk turun tanpa pegang tali
tersebut. Nyaris kami nak cari laluan lain masa tu sebab sangkakan laluan tu
salah.
Jumpa lagi ramai yang tertinggal di belakang. haha. |
Perjalanan hampir 2 jam. Akhirnya kami tiba di Takah
Berangin.
Subhanallah. Ayat yang terlintas di fikiran tatkala
memandang air terjun ini buat pertama kali. Memang indah dan cantik. Buat
pertama kali saya melihat air terjun tegak (near vertical) setinggi ni. Air
terjun tinggi pernah tengok di Gunung Ledang iaitu Air Terjun Puteri, tapi itu tak
berapa vertical. Hilang segala penat lelah mendaki bukit selama dua jam tadi.
Sesuai dengan namanya, kawasan air terjun ni memang berangin hasil daripada
jatuhan air dari atas air terjun. Angin yang bertiup turut membawa bersama
kabus percikan air terjun menjadikan persekitaran kawasan ni sejuk dan
mendamaikan serta menenangkan bagi sesiapa sahaja, kecuali bagi peralatan
elektronik seperti kamera yang sememangnya takut akan air. Haha.
Nah. Cantik oo.. |
Waktu kami tiba, yang sampai awal dah turun ke dalam air.
Kami ni lebih kurang macam kumpulan terakhir yang tiba di sini walaupun kat
belakang ada je orang lain lagi.
Bermandi manda. |
Berkali-kali shutter ditekan merakam keindahan alam ciptaan
Allah SWT. Sementara masih ada kesempatan dan sementara badan masih kering. Dah
basah nanti tak boleh pegang kamera sebab tak waterproof. Haha.
Peluang yang ada tak disia-siakan untuk mandi manda. Uniknya
di sini, kita boleh duduk di bawah jatuhan air tu sebab kolamnya tak dalam.
Kawasan yang dalam cuma di sebelah tengah air terjun, itu pun kecil sahaja
kawasannya. Kat situ memang saya tak berani pergi. Kawasan lain standard paras
perut. Sempat kena gigit pacat seekor di kaki. Lalu saya sapukan minyak cap
kapak ke atas badannya supaya dia berhenti menghisap.
Pacat gemuk. haha. |
Selesai mandi, rakan-rakan lain pun makan tengah hari.
Kemudian kami menunaikan solat Zohor dan Asar berjemaah di atas kanvas di tebing
sungai yang berpasir.
Solat di tebing sungai. |
Tiba saat yang getir bagi kami yang bawa peralatan
elektronik seperti kamera dan camcorder ni. Hujan turun dengan lebat
mencurah-curah. Tambahan pulak saya tengah solat waktu itu. Habis solat terus
berlari pergi ambil beg kamera yang dah lencun. Alhamdulillah peralatan di
dalamnya tak basah. Terus saya masukkan semuanya ke dalam beg plastik yang
dibawa.
Jam 1.30 tengah hari, kami memulakan perjalanan pulang. Trekking
balik sememangnya lebih mencabar dalam suasana yang hujan serta basah,
menjadikan trek lebih licin berbanding semasa kami datang tadi.
Tiba di persimpangan tempat kami berehat tadi.
Trek yang licin dan berbahaya. |
Kali ini,
kami ambil jalan yang satu lagi menuju ke Takah Pandan. Permulaan laluannya nampak
mudah. Selepas beberapa meter berjalan, baru kami sedar treknya lagi dahsyat
daripada laluan pergi tadi. Kami perlu menuruni bukit dengan kecuraman hampir
70 darjah. Di ketika ini, tali yang disediakan memainkan peranan yang sangat
penting sebagai tempat berpaut selain pokok-pokok kayu dan akar pokok yang ada.
Andai kata terlepas pautan (mintak dijauhkan), kita akan jatuh terus ke bawah
sana.
Takah Pandan dilihat dari jauh. |
Trek menurun menghala ke Takah Pandan. |
Kami tiba di Takah Pandan pada kira-kira jam 2.30 petang.
Hujan dah berhenti. Takah Pandan terletak di pertemuan antara dua sungai. Ada dua air terjun yang tinggi di sini yang kemudiannya bercantum
menjadi satu aliran sungai. Sungai inilah yang kami lintasi melalui jambatan
gantung semasa pergi tadi. Tak seperti di Takah Berangin tadi, kolam di Takah
Pandan ini kecil sahaja tetapi sangat dalam. Mereka yang tak tahu berenang
dinasihatkan supaya tidak cuba mandi di sini.
Takah Pandan (kiri) dan kembarnya (kanan). |
Kami berehat sebentar, merakamkan gambar kenang-kenangan
sebelum memulakan perjalanan turun ke Base Camp pada kira-kira jam 3 petang.
Perjalanan turun pun tidak kurang mencabarnya. Masih ada lagi cerun securam 60
darjah, sebelum bertemu semula dengan trek menyusuri Sungai Selai. Sekali lagi
kami terpisah, tapi Alhamdulillah juga saya dapat cam trek ni iaitu trek yang
kami lalui masa pergi tadi.
Trek curam melalui bekas laluan air. |
Kali ini kami antara kumpulan terawal yang tiba di Lubuk
Tapah kira-kira jam 3.45 petang. Yang sampai awal tadi kebanyakannya dah terjun
ke dalam air. Ada lagi satu kumpulan di belakang yang belum sampai. Melalui
waikie talkie Encik Adni, kami dapat tahu ada yang tercedera. Namun kami tak
dapat membantu kerana lokasi mereka yang masih jauh di dalam hutan. Cuma dapat
doakan mereka dari jauh sahaja.
Berehat sebentar sambil makan nasi lauk tengah hari yang
saya tak makan di Takah Berangin tadi. Kalau dah berjalan memang saya jarang
ingat makan. Sudahnya makanan tu bawak turun semula. Haha.
Sambil makan, dapat lihat kawan-kawan melayan tupai jinak
yang datang di tempat kami duduk itu. Tupai ni tak lari pun walau didekati,
malahan dia yang datang kepada kita untuk mintak makanan.
Sementara tunggu ketibaan rakan-rakan lain, kami bermain di
sungai. Akhirnya dapat juga kami cuba water tubing pada hari kedua ini. Sebelum
ber-“tubing”, kami perlu angkat tiub tersebut melalui denai hutan menuju ke
tempat permulaan. Aspek keselamatan tak diabaikan, kami dibekalkan jaket
keselamatan sebab ada tempat-tempat tertentu yang sangat dalam airnya.
Kena langgar dengan orang belakang. ceh. |
Kalau tengok macam senang. Tapi bila dah rasa sendiri, baru
tahu betapa susahnya nak kawal pelampung tu supaya sentiasa hala ke depan dan
tak berpusing-pusing. Itulah namanya pengalaman. Mengingatkan kami betapa
pentingnya melakukan amali hands-on untuk murid-murid di bengkel Kemahiran Hidup berbanding pengajaran secara
teori sahaja. Cewah.
Selepas bertubing, saya duduk-duduk sekejap di pondok berhampiran sambil berbual dengan Encik Adni. Macam-macam perkara dibualkan.
Selesai aktiviti, kami kembali
ke dorm untuk membersihkan diri dan bersolat. Ramai rakan-rakan yang sedang
tidur sebab kepenatan trekking tadi.
Bersambung dalam entri seterusnya:
KeKAS | Taman Negara Johor Endau Rompin (Selai), Segamat, Johor | Part 3.
KeKAS | Taman Negara Johor Endau Rompin (Selai), Segamat, Johor | Part 3.
No comments:
Post a Comment