Penulis tidak bertanggungjawab atas segala kesulitan yang timbul akibat daripada penggunaan sebarang bahan dalam blog ini. Sebarang maklumat yang tercatat dalam blog ini adalah hampir tepat pada tarikh penulisan tetapi mungkin berubah mengikut keadaan semasa.

Sekiranya ada sebarang pertanyaan yang berkaitan, sila tuliskan di ruangan komen atau e-melkan kepada penulis. Komen anonymous dibenarkan, tetapi anda digalakkan untuk meninggalkan komen dengan mendaftar masuk akaun Google atau Blogger masing-masing.

Sebarang komen yang tidak berpatutan atau difikirkan tidak sesuai akan dibuang selaras dengan Akta Keterangan (pindaan 2012) di mana pemilik blog bertanggungjawab terhadap segala komen yang disiarkan.

Pemilik rumah penginapan atau homestay juga dibenarkan tulis iklan di ruangan komen. Terima kasih. =)

Tuesday, November 26, 2013

KeKAS | Taman Negara Johor Endau Rompin (Selai), Segamat, Johor | Part 3.

Sambungan daripada entri terdahulu: Taman Negara Johor Endau Rompin (Selai) Part 2.

Aktiviti 4 – Taklimat Taman Negara dan Harimau Belang

Masih lagi dalam hari kedua, 19 November 2013. Sebelah malamnya, kami berkumpul di  dewan mini (tak pasti nama sebenarnya apa) bersebelahan kafeteria. Sesi malam ini ialah taklimat mengenai taman negara serta ceramah tentang harimau belang, atau bak kata Encik Adni, Tiger Show. Haha.
Bersedia untuk mendengar taklimat.
Taklimat disampaikan oleh Encik Muhazam Syah. Seronok sebab taklimat ini dijalankan secara santai sambil berlawak. Banyak input yang kami dapat daripada taklimat ini. Antaranya ialah mengenai taman negara itu sendiri selain masalah-masalah yang dihadapi dalam menjaga flora dan fauna di sini seperti pemburu haram dan sebagainya. Bila dengar ceramah seperti ini, tersedar betapa tamaknya dan rakusnya manusia selama ini sehinggakan alam sekitar yang indah boleh tercemar dan hilang dari pandangan, dan akhirnya ketamakan manusia itu memakan diri manusia sendiri.
Ceramah tentang taman negara.
Taklimat tentang harimau belang pun tak kurang menariknya. Memang betul-betul tiger show. Opss.. jangan fikir lain. Bukan thai-girl-show. Ini memang show harimau yang sebenar. Rupanya sekitar Taman Negara Endau Rompin ni dipasang dengan camera trap untuk merakam hidupan liar yang ada di sini. Taman negara ini sememangnya ada banyak hidupan liar di dalamnya, contohnya gajah yang kami temui najisnya pada siang tadi.
Selesai taklimat kira-kira jam 10 malam. Encik Adni seterusnya membawakan kami beberapa permainan menarik untuk kami cuba. Antaranya permainan ini di mana kami perlu cantumkan tiga kepingan kertas ini supaya membentuk gambar dua orang menunggang kuda.
Sebelum (kiri) dan hasilnya (kanan).
Selain itu, ada juga permainan lain. Uniknya permainan ini kerana diperbuat daripada rotan dan tali. Kita perlu keluarkan tali tersebut tanpa memutuskannya dan kemudian memasukkannya semula. Memang menguji minda. Ada beberapa orang yang berjaya, ada jugak yang cuma dapat keluarkan tapi tak dapat masukkan semula.
Jam 11 malam, kami duduk-duduk bersantai di kafeteria, menikmati malam terakhir kami di sini sambil berbual dengan Encik Adni.

Saya kembali ke dorm pada pukul 12 malam. Mata dah mengantuk sebab masih belum tidur selepas trekking. Rakan-rakan ramai yang sudah tidur kecuali beberapa orang yang masih berjaga. Malam itu kami buat keputusan untuk angkat tilam ke beranda dorm dan tidur di luar. Sengaja, kononnya nak lebih menghayati malam terakhir di sini. Tak risau sebab kedudukan beranda yang tinggi agak selamat daripada haiwan liar.
Sambil duduk di situ, kami berbual sehingga jam 1 pagi sambil makan biskut yang dibawa. Sesekali terdengar bunyi seperti bunyi ayam dari bawah dorm perempuan di hadapan dorm kami. Bunyi ayam hutan barangkali. Terdengar juga bunyi binatang berlari-lari di atas bumbung dorm kami. Mungkin musang.


Hari Ketiga – 20 November 2013

Saya terjaga kira-kira jam 5.15 pagi. Seketika kemudian, menunaikan solat Subuh berjemaah bersama pensyarah pengiring sebelum terlena semula atas tilam di luar dorm.

Jam 7.10 pagi, terjaga bila dikejutkan oleh rakan. Hari dah terang, cepat-cepat angkat tilam masuk. Bersiap-siap untuk bersarapan buat kali terakhir di sini.

Sarapan nasi lemak pagi terakhir memang sedap. Sampai hari ni masih terbayang sedapnya nasi lemak tu.
Makan makan..
Jam 8.30 pagi, kami berkumpul di tempat biasa.

Sementara menunggu aktiviti seterusnya, Encik Adni membawakan beberapa permainan untuk kami. Kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan.

Permainan pertama. Kami diberikan satu bongkah kayu yang dipakukan sebatang paku di atasnya. Kemudian, kami diberikan 9 batang paku lagi. Tugasan kami ialah kami dikehendaki untuk mengimbangkan 9 batang paku tadi di atas sebatang paku yang telah dipakukan kepada bongkah kayu tadi.
Hasilnya..
Permainan seterusnya, setiap kumpulan diberikan selotape dan sebungkus belon. Kami diminta untuk membina menara daripada belon tersebut dan selotape yang dibekalkan. Kumpulan yang berjaya membina menara belon tertinggi dianggap pemenang.
Pemenang. haha.

 Aktiviti 5 – Nature Adaption (penanaman pokok)

Aktiviti ini merupakan aktiviti untuk menanam pokok di sekitar kawasan kompleks pelawat. Sesuai dengan tema kem kami kali ini iaitu Kem Kesedaran Alam Sekitar.

Sambil menuju ke tempat mengambil pokok, kami ditunjukkan dengan beberapa jenis pokok yang kami temui sepanjang perjalanan. Paling mengagumkan, sejenis pokok kecil (yang saya anggap rumput) yang tumbuh melata di sini apabila dicabut akarnya berbau seperti minyak angin. Kami dimaklumkan bahawa tumbuhan ini ialah salah satu bahan membuat minyak angin.
Seronok pulak masing-masing mencium pokok tu.
Kami bergotong-royong menanam pokok di sekitar kawasan dorm dan menara pemancar baharu tersebut. Kawasan ini memang lapang kerana kompleks ini yang baru sahaja siap dalam lingkungan 2 hingga 3 tahun lalu. Jumlah pokok yang kami tanam lebih kurang 32 batang kesemuanya. Harap-harap tumbuhlah pokok ini dengan suburnya supaya menjadi tanda kenangan kehadiran kami di sini suatu hari nanti.
Lady gagah sedang mengorek lubang.
Penontonnya ramai betul. haha.
Jam 10.40 pagi, aktiviti kami selesai. Terdengar beberapa permintaan untuk mandi sungai lagi. Kebenaran diberi, dengan syarat jam 12 tengah hari semua mesti sudah bersedia di dewan sebelah kafeteria tadi.
Tak melepaskan peluang, kami terus ke sungai di kawasan Jungle Hut tadi untuk mandi buat kali terakhir sebelum kami meninggalkan kawasan ini sebentar lagi.
Jam 12 tengah hari, kami berkumpul seperti yang diarahkan. Di sini, diadakan majlis ringkas sebagai penutup kepada program kami selama 3 hari 2 malam di sini. Turut diadakan penyampaian sijil dan cenderahati.
Bergambar sebentar sebelum menaiki kenderaan 4WD untuk bergerak kembali ke Bekok. Saat ni rasa sayu mengenangkan keseronokan 3 hari di sini. Entah bila agaknya dapat kembali ke sini lagi.
Untuk perjalanan pulang, saya dapat duduk di belakang pikap yang kami naiki. Seronok. Merasa jugak muka kena penampar dengan pelepah sawit dek kerana terlalu leka merakam gambar.

Kami tiba di pekan Bekok pada kira-kira jam 1.50 petang.

Dalam perjalanan pulang ke Batu Pahat, kami singgah sekali lagi di Chaah untuk makan. Sambil makan, kami bercerita pengalaman masing-masing. Seorang rakan bercerita malam tadinya dia terdengar bunyi benda berjalan atas bumbung. Dalam hati dah terfikir, nasib baik benda tu tak turun kat kami yang tidur luar ni. Haha.

**************************************************

Entri paling panjang dalam sejarah blog ini. Dan antara entri paling laju saya karang, ambil masa tak sampai 12 jam.

Pengalaman yang sememangnya sangat indah dan berharga. Terukir sebuah lagi kenangan dalam kehidupan. Pengalaman kali ini takkan saya lupakan sampai bila-bila. Berpeluang mengeratkan silaturrahim antara sesama rakan-rakan selain berkenalan dengan rakan-rakan baru yang mungkin ada antaranya tak pernah kita tegur pun sepanjang di IPG.
Senarai nama peserta terlibat.
Di kesempatan ini ingin saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua rakan-rakan yang sama-sama terlibat secara langsung mahupun tidak langsung sepanjang menjayakan program ini. Terima kasih juga kepada yang menjemput. Seperti biasa, kalau tak ada yang mengajak, belum tentu lagi saya dapat ke sini dan yang pastinya, tak adalah penulisan ini.

Tak lupa juga terima kasih kepada mereka yang ada saya gunakan gambarnya dalam penulisan ini, Aizat, Syukri dan lain-lain.

Maaf dipinta andai terdapat kesalahan, kesilapan, tersalah kata sepanjang bersama dalam program ini. Semoga ukhwah yang terjalin akan terus kekal hingga ke akhir hayat.

Tepek gambar kenang-kenangan.

Sekian.




1 comment:

Ujie said...

Tido kat luar sambil disapa dingin malam hutan tropika..mesti syok kan.

Akak pun minat masuk tmn2 negara ni, tapi tmn negara johor blm pegi sbb nak masuk kena sewa/dapatkan 4wd. Tak mcm tmn negara k.tahan yg kita boleh drive sendiri.