Taman Negara ini merupakan taman negara yang kedua terbesar di Semenanjung Malaysia selepas Taman Negara di Pahang. Nama Endau Rompin diberi kerana kedudukan taman ini yang meliputi kawasan tadahan air bagi Sungai Endau dan Sungai Rompin. Taman Negara Johor Endau Rompin ini meliputi kawasan seluas 48905 hektar di sekitar kawasan sempadan Johor/Pahang. Ia juga merupakan antara hutan hujan tropika tertua di dunia dan menjadi habitat kepada beberapa spesies haiwan yang semakin pupus seperti badak sumbu sumatera.
Terdapat 3 pintu masuk ke taman negara ini iaitu:
1. Melalui Kampung Peta, Kahang, Kluang, Johor. Taman Negara Johor Endau Rompin (Peta).
2. Melalui Kampung Selai, Bekok, Segamat, Johor. Taman Negara Johor Endau Rompin (Selai).
3. Melalui Felda Selendang, Kuala Rompin, Pahang. Disebut Taman Negeri Endau Rompin, Pahang.
Taman Negara Johor Endau Rompin (Selai) merupakan salah satu pintu masuk yang popular selain di Peta, Kahang. Nama Selai diberi berdasarkan kepada perkampungan terakhir yang dilalui sepanjang jalan masuk ini iaitu Kampung Selai. Kampung Selai itu sendiri mendapat nama daripada lagenda orang asli iaitu seorang puteri yang mempunyai kuasa haba yang sangat panas sehingga menyebabkan aliran sebatang sungai yang mengalir dari Gunung Besar menjadi kering dan mengecil sehingga selebar sehelai (sebatang) rotan sahaja.
Peluang meneroka Taman Negara Johor Endau Rompin (Selai) semasa mengikuti Kem Kesedaran Alam Sekitar (KeKAS) baru-baru ini sesuatu yang amat berharga pada saya. Walaupun telah menetap di Johor lebih 22 tahun, belum pernah sekali pun terfikir untuk sampai ke sini. Tambahan pula perjalanan ke sini kali ini tidak perlu mengeluarkan belanja, semuanya ditanggung oleh pihak Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor, terasa sangat gembira kerana dipanggil untuk mengikuti kem ini.
Ikuti catatan cebisan aktiviti kami selama 3 hari 2 malam di Taman Negara Johor Endau Rompin (Selai) ini.
***************************************
Hari Pertama – 18 November 2013
Kami memulakan perjalanan dari Batu Pahat pada kira-kira jam
8.30 pagi menaiki sebuah bas yang disewa khas. Dalam perjalanan, kami singgah sebentar
untuk bersarapan di Kompleks Gerai Chaah, Labis. Oleh kerana makan tengah hari untuk
hari pertama tak disediakan di kem, kami
turut membungkus makanan di sini untuk dibawa ke kem sebagai santapan tengah
hari nanti.
Bersarapan di Chaah dan bungkus untuk makan tengah hari, |
Kira-kira jam 11.00 pagi, kami tiba di hadapan Pejabat Taman
Negara Johor Endau Rompin (Selai) di pekan Bekok. Sesiapa yang ingin memasuki
Taman Negara Johor Endau Rompin Selai ini perlu membuat pendaftaran dan bayaran
yang berkenaan serta mendapatkan permit masuk di pejabat ini. Perbuatan masuk
ke taman negara tanpa kebenaran dan permit masuk merupakan satu kesalahan dan
boleh didakwa.
Pejabat TNJER (Selai) di pekan Bekok. |
Pejabat Taman Negara Johor Endau Rompin Selai ini terletak
di pekan Bekok. Untuk ke sini, anda boleh mengikut jalan arah ke Hutan Lipur Sungai
Bantang, Bekok dan pejabat ini terletak di sebelah kiri di taman terakhir
selepas anda melewati pekan Bekok.
Di sini, kami menurunkan barang dari bas dan menunggu
ketibaan kenderaan pacuan empat roda (4WD). Untuk ke Taman Negara Endau Rompin
Selai ini, kenderaan 4WD adalah sangat diperlukan, atau sekurang-kurangnya
kenderaan yang tinggi dan tidak mudah jejak dengan tanah kerana perlu menempuh
lumpur dan lubang-lubang yang dalam.
Memunggah barang dari bas. |
Sekitar jam 11.30 pagi, kenderaan 4WD tiba beramai-ramai.
Ada kira-kira 7 kenderaan untuk kami yang terdiri dari pelbagai jenis seperti Nissan Frontier, Mitsubishi Pajero, Ford Ranger dan sebagainya.
Hati gembira dapat naik kenderaan ini,
dan saya pernah ada impian untuk memiliki satu daripada kenderaan seumpama ni.
Kenderaan 4WD sedia untuk dinaiki. |
Sepuluh minit kemudian, kami memulakan perjalanan.
Perjalanan menuju ke Kompleks Pelawat Lubuk Tapah melibatkan jarak sejauh
kira-kira 28 kilometer. Jalannya pada
peringkat permulaan lebar dengan dua lorong macam jalanraya biasa melewati
perkampungan biasa dan kebun-kebun. Selepas melewati simpang ke Hutan Lipur Sungai
Bantang, jalan mula mengecil sehingga ke satu selekoh tajam yang terdapat
sebatang pokok besar di tepinya, di mana ada penanda menunjukkan kami mula
memasuki kawasan hutan simpan. Jalan tinggal selorong di sini tapi masih
berturap.
Selekoh pokok besar yang paling saya ingat. |
Secara keseluruhannya, jalan menuju ke kampung Selai
tidaklah seteruk yang saya sangkakan sebelum ke sini. Jalan di permulaan kebanyakannya
merupakan jalan tar lama yang sudah rosak dan berlubang-lubang. Ada antara
kawasan-kawasan tertentu yang baru diturap cantik, tapi kebanyakan kawasan
jalan ini adalah jalan berpasir dan berbatu serta jalan tanah seperti di estet.
Laluan ini bagi saya tak termasuk dalam
kategori off-road kerana jalannya dah ada, cuma tak sebegitu cantik. Malahan
kami turut berselisih dengan kereta Serena dan Proton Saga BLM, menunjukkan
kereta biasa juga boleh melepasi jalan menuju ke Kampung Selai ini.
Beberapa keadaan jalan sepanjang menuju ke Kampung Selai. |
Sepanjang perjalanan, kami melewati beberapa penempatan
orang asal di sini seperti Kampung Kemidak, Kampung Tamok dan beberapa lagi
perkampungan lain. Ada jugak sebuah sekolah rendah yang kami lintasi iaitu
Sekolah Kebangsaan Kampung Kudong. Ini adalah sekolah paling dalam di sini.
SK Kampung Kudong. Cantik Sekolahnya. |
Pintu masuk ke taman negara. |
Enam kilometer terakhir agak mencabar. Sebaik melepasi
checkpoint taman negara, jalan jadi sangat sempit. Di sini, pada pemerhatian
saya, kereta biasa memang tak lepas. Jalannya
ialah jalan tanah dan banyak tempat yang berselut. Kalau kereta biasa,
kebarangkalian untuk tersangkut dalam lumpur sangat tinggi. Tapi tak ada lah
redah sungai macam kita tengok dalam televisyen. Menurut pakcik yang saya borak
tu, kalau nak rasa yang tu kena ambil pakej lain. Mereka akan bawa kita ke
laluan yang betul-betul off-road. Lain kali lah kot.
Jalan menuju ke Lubuk Merekek dan Lubuk Tapah. |
Sebelum tiba di Lubuk Tapah, kami melewati kawasan
perkhemahan Lubuk Merekek. Di sini ialah kawasan untuk mereka yang memilih
untuk berkhemah dan sungai di sini dibenarkan memancing dengan kadar-kadar
tertentu.
Campsite Lubuk Merekek. |
Jam 12.40 tengah hari, kami tiba di Kompleks Pelawat Taman
Negara Endau Rompin Selai. Kompleks ni baru sahaja siap, dan pokok-pokok di
sekitar bangunan baru nak membesar. Di
sini terletak pejabat, kafeteria, chalet serta asrama (dorm) yang akan kami
menginap nanti. Kami mengumpulkan barang di satu dewan terbuka sebelum
mendaftar masuk dan mengambil kunci loker.
Bangunan utama Kompleks Pelawat. Cantik. |
Mengambil kunci loker masing-masing. |
Aktiviti kami di sini dikelolakan oleh kakitangan Taman
Negara Endau Rompin Selai diketuai oleh Encik Adni. Beliau sangat baik dan
peramah. Kalau saya tanya soalan dia mesti jawab dengan baik walaupun tak berkaitan
dengan taman negara pun. Dan menurut beliau, pada waktu ini, cuma kami sahaja di
sini kerana taman negara ditutup sementara berikutan musim hujan. Kami bernasib
baik sebab dah tempah awal dan dapat masuk ke sini. Seronok sebab tahu aktiviti
kami takkan mengganggu dan takkan diganggu kumpulan lain, selain tak risau
tinggalkan dorm tanpa dikunci sementara kami masuk ke hutan.
Bangunan dorm. Kiri perempuan, kanan lelaki. |
Kawasan kompleks ini ringkas. Ada satu bulatan, dan di
sekitar bulatan ini terletak semuanya seperti chalet, kafeteria, dewan dan dorm
di sebelah atas bukit. Ada juga pondok hutan kira-kira 200 meter dari sini.
Semua bangunan di kompleks ini dibina daripada kayu dan dibina di atas tiang
konkrit yang tinggi, mungkin untuk mengelakkan serangan haiwan liar. Elak
banjir tak mungkin sebab kawasan ini di lereng bukit. Haha.
Semuanya atas tiang. Kenapa entah. |
Dorm di sini lebih selesa daripada apa yang saya bayangkan. Ada
dua dorm berhadapan, satu untuk lelaki dan satu untuk wanita. Setiap dorm ada 3
bahagian tapi semuanya bercantum serta satu bilik air. Tak pasti ada berapa
katil di dorm ni, tapi kalau tak silap perhitungan, satu dorm boleh masuk
sehingga 40 orang. Loker disediakan bagi setiap orang selain soket elektrik
yang memang sangat saya perlukan bila berjalan ke mana-mana sekalipun untuk
mengecas kamera.
Dorm kami dari dekat. |
Di sini, telefon bimbit kehilangan fungsinya sebagai
telefon. Tak ada sebarang liputan telefon di sini pada waktu kedatangan kami
ini. Pada masa akan datang insyaAllah ada kerana ada satu menara pemancar yang
telah dibina bersebelahan dorm, tapi belum ada sebarang peralatan komunikasi di
atasnya. Mungkin dalam tempoh setahun lagi boleh siap. Katanya pencawang itu
milik Maxis. Wallahu’alam.
Menara pemancar yang belum siap. |
Bekalan air di dorm dan kawasan kompleks ini merupakan air
bukit. Air di sebelah atas bukit diempang dan air disalirkan masuk ke dalam
saluran paip menuju ke kompleks ini. Patutlah airnya sejuk semacam walaupun
tengah hari. Bekalan elektrik di kawasan kompleks pula merupakan bekalan 24 jam
daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) kecuali kawasan jungle hut yang
menggunakan generator berpusat. Generator dihidupkan bermula jam 7 malam hingga
jam 7 pagi, itu pun kalau ada pengunjung di kawasan jungle hut itu. Kalau kita
berada di kawasan jungle hut, boleh tengok lampunya terang-malap-terang-malap
sebab guna generator.
Aktiviti 1 - Nature Expore
Jam 2.15 petang. Kami berjalan kaki menuju ke kawasan
perkhemahan Lubuk Merekek yang kami lewati tadi. Kemudian kami melencong masuk
ke satu laluan hutan menuju ke tempat aktiviti.
Mari kita ke ladang~.. haha. |
Di sini, kami diberi tunjuk ajar tentang cara ikhtiar hidup
di hutan. Antaranya ialah barang-barang yang perlu kita ada semasa masuk ke
hutan dan cara menyelamatkan diri di hutan.
Ada juga beberapa model pondok hutan dibina di situ.
Mendengar penerangan Encik Adni. |
Kami juga ditunjukkan cara untuk membina pondok hammock.
Kemudian, wakil kumpulan lelaki dan perempuan dipanggil untuk membina pondok
tersebut.
Wakil lelaki gagah sedang membina pondok hammock. |
Menguji pondok hammock yang telah dibina. |
Selain itu, ada juga penerangan tentang jerat binatang yang digunakan oleh orang asal di sini. Cara tindakbalas jerat juga ditunjukkan.
Salah satu jerat yang digunakan. |
Paling menarik, kami ditunjukkan cara menghidupkan api tanpa
menggunakan mancis atau pemetik api. Mereka guna satu alat yang diperbuat
daripada kayu. Api dinyalakan tanpa menggunakan lilin askar, minyak tanah
mahupun sebarang bahan kimia lain sebaliknya menggunakan bahan-bahan hutan yang
ada di sekeliling kami pada waktu itu. Malah, kayu hidup pun digunakan untuk
hidupkan api dan berjaya.
Demonstrasi menyalakan api. |
Selepas itu, kami juga ditunjukkan cara memasak nasi tanpa
menggunakan periuk. Cuma gunakan 10 helai daun hutan (tak ingat namanya) untuk
membalut plastik bungkusan nasi tersebut yang kemudiannya terus diletakkan di
atas api macam memasak biasa. Tapi kami tak menunggu nasi tu masak kerana
kesuntukan masa.
Memasak nasi dalam daun. |
Selepas selesai aktiviti ini, kami kembali ke Lubuk Tapah.
Sebelah petang, kami menuju ke kawasan Jungle Hut Lubuk
Tapah. Kawasan ini ialah kawasan paling hampir dengan sungai di Lubuk Tapah ni.
Di kawasan kompleks tadi tak ada sungai pun.
Sempat lagi bergambar sebelum memulakan aktiviti. |
Sebelum aktiviti bermula, pensyarah kami, Encik Tokiap
sempat belanja ikan makan. Beliau membeli makanan ikan di situ dan kami
beramai-ramai beri makan pada ikan. Setiap kali kami baling makanan, banyak
ikan-ikan yang menyerbu, sampai terlompat-lompat di permukaan air.
Memberi makanan kepada ikan. |
Lubuk Tapah dah berubah wajahnya, berbeza sekali dengan apa yang dapat kita lihat dalam internet. Menurut pengurusan di sini, Lubuk Tapah banyak berubah selepas peristiwa banjir besar yang melanda Johor (tahun 2006 kalau tak silap). Kawasan ini tak banjir, tapi mungkin hujan lebat yang luar biasa pada waktu itu yang memberi kesan kepada kawasan ini. Beberapa kejadian tanah runtuh berlaku di sepanjang Sungai Selai. Sebelah atas sedikit daripada Lubuk Tapah ini kita dapat lihat ada dua aliran sungai, iaitu sungai asal dan sungai baru yang terbentuk akibat banjir besar dahulu. Sungai yang dahulunya tak begitu besar dah jadi lebar. Dasarnya merupakan campuran lumpur dan pasir.
Di sini, kami berkumpul dan diberi taklimat oleh Encik Adni tentang aktiviti seterusnya, iaitu Water Tubing. Aktiviti ini menggunakan tiub tayar lori yang dibalut dengan jaring. Kemudian, kita akan duduk di atas tiub lori tersebut di atas air dan mula mendayung melalui jeram-jeram dan sungai. Lebih kurang macam whitewater rafting. Boleh bayangkan? Tengok gambar.
Di sini, kami berkumpul dan diberi taklimat oleh Encik Adni tentang aktiviti seterusnya, iaitu Water Tubing. Aktiviti ini menggunakan tiub tayar lori yang dibalut dengan jaring. Kemudian, kita akan duduk di atas tiub lori tersebut di atas air dan mula mendayung melalui jeram-jeram dan sungai. Lebih kurang macam whitewater rafting. Boleh bayangkan? Tengok gambar.
Ni demonstrasi je. Tubing sebenar kat dalam air la ye. |
Oleh kerana kesuntukan masa, cuma beberapa orang sahaja yang
berpeluang melakukan aktiviti ini pada petang tersebut. Manakala yang lain cuma
berendam dalam aliran Sungai Selai yang sejuk airnya.
Jam 7 malam, kami kembali ke kompleks untuk membersihkan
diri, solat Maghrib dan Isyak secara jamak qasar serta makan malam.
Water tubing. Best! |
Makanan disediakan oleh keluarga Encik Adni sendiri. Sedap
masakannya. Tambahan pula makan beramai-ramai bersama rakan-rakan di sini
terasa seolah-olah berada dalam satu keluarga yang besar. Memang menyeronokkan.
Aktiviti 2. – Night Walk dan Light Trap
*Bahagian ni formal sikit sebab copy paste daripada laporan
group kami. Huhu.
Aktiviti ini bermula pada kira-kira jam 8.30 malam. Sebelum
menjalani aktiviti ini, kami telah berkumpul di kem untuk sesi taklimat. Encik
Adni telah menyampaikan sedikit taklimat mengenai keselamatan serta penerangan
ringkas tentang perkara-perkara yang akan dilakukan sepanjang aktiviti ini.
Taklimat aktiviti. |
Kami kemudiannya berjalan secara berkumpulan melalui laluan
ke Lubuk Merekek sebelum membelok masuk ke satu denai hutan di kawasan Arboretum
(Hutan Pembelajaran). Bertemankan lampu suluh masing-masing, kami berjalan
menyusuri denai hutan sambil memerhatikan persekitaran kami sekiranya
terserempak sebarang hidupan yang biasanya aktif di waktu malam.
Sempat lagi nak bergambar. haha. |
Banyak perkara yang kami temui sepanjang aktiviti ini. Antaranya
ialah kesan sondolan babi hutan di atas tanah. Berdasarkan kesan tersebut, kami
membayangkan pastinya haiwan yang membuat kesan ini bersaiz besar dan kuat.
Kami juga menemui beberapa kesan tapak kaki haiwan tersebut di sekitar laluan
kami. Kesan tapak kaki ini menunjukkan bahawa haiwan ini baru sahaja berada di
sini dalam tempoh beberapa ketika sahaja sebelum kami tiba di sini.
Berjalan menyusuri kegelapan malam. |
Selain itu, kami juga berpeluang melihat seekor sesumpah
yang duduk di atas ranting sebatang pokok. Sesumpah tersebut cuba menyamarkan
dirinya menyerupai daun pokok tersebut berwarna hijau. Sesumpah ini tidak
bergerak langsung walaupun kami menyuluh dan datang melihatnya dari dekat. Kami
sangat kagum melihat keunikan haiwan ini.
Sesumpah di atas pokok. |
Sepanjang aktiviti ini juga, kami berpeluang mengenali
beberapa spesies pokok hutan seperti karas, mempening, tembusu putih dan
sebagainya. Ada antara pokok ini yang bersaiz sangat besar menandakan ia sudah
hidup untuk tempoh waktu yang amat lama. Pengiring kami juga menerangkan serba
sedikit tentang pokok-pokok dan haiwan-haiwan yang ditemui.
Ketika tiba di satu kawasan, kami diminta untuk memejamkan
mata dan memadamkan lampu suluh masing-masing. Tujuan memejamkan mata adalah
supaya mata kita tidak terkejut dengan perubahan secara tiba-tiba dari keadaan
terang kepada gelap. Selepas beberapa ketika berada di dalam kegelapan malam,
kami ditunjukkan dengan kulat yang boleh menyala di dalam gelap. Kulat ini
mengeluarkan cahaya yang malap, namun dapat dilihat dengan mata kasar di dalam
kegelapan malam. Menurut pengiring kami, cahaya tersebut terhasil daripada
aktiviti penguraian bahan organik oleh kulat tersebut. Kami sangat kagum dengan
penemuan ini, apatah lagi ramai antara kami yang baru melihat kejadian ini buat
pertama kalinya di hadapan mata sendiri.
Denai hutan yang kami lalui membawa kami ke kawasan
berhadapan pintu masuk ke denai air terjun. Di sini, kami melakukan aktiviti
seterusnya iaitu Light Trap. Aktiviti ini merupakan satu aktiviti di mana kami
menggunakan cahaya untuk menarik kehadiran serangga supaya hinggap pada kain
putih yang telah direntangkan.
Sesi light trap. |
Banyak serangga yang berjaya kami tarik ke atas kain putih
tersebut. Sambil mengenali serangga-serangga yang ada, pengiring kami
menerangkan serba sedikit mengenai serangga-serangga tersebut seperti cara
pembiakan dan sebagainya. Banyak soalan yang telah kami ajukan dan dijawab oleh
beliau dengan terpeincinya.
Jam 10.30 malam, kami bergerak
ke kafeteria untuk minum malam sebelum kembali ke dorm untuk tidur.
Bersambung dalam entri seterusnya:
KeKAS | Taman Negara Johor Endau Rompin (Selai), Segamat, Johor | Part 2.
KeKAS | Taman Negara Johor Endau Rompin (Selai), Segamat, Johor | Part 2.
No comments:
Post a Comment