Maaf atas kelewatan menyiapkan entri ini. Banyak perkara yang berlaku sepanjang 2 minggu ini. Antaranya, teman kesayangan ini yang tiba-tiba merajuk setelah ditinggalkan sendirian di bilik asrama sepanjang pemergian saya selama 3 hari ke program ini. Kemudian pula, perlu membiasakan diri dengan sistem operasi (OS) yang baru selepas 3 tahun mempertahankan sistem operasi asal (tak pernah format sejak dibeli). Menaip entri seperti ini memerlukan masa berjam-jam (adakalanya berhari-hari) bagi saya, untuk mencari idea dan mengolah cerita. Kerana itulah, selagi keperluan tak mendesak, bukan cara saya untuk menumpang taip di komputer milik orang lain.
Berbalik kepada tajuk asal. Pada 6 hingga 8 Julai 2012, saya telah berpeluang menyertai Program Pendidikan Biodiversiti (PPBD) bertempat di Pusat Pemuliharaan Burung Kuang Jabatan Perhilitan Jemaluang, Mersing, Johor. Ini adalah kali pertama saya menyertai program opsyen lain sendirian tanpa rakan-rakan opsyen saya yang lain.
Jarang sekali saya dapat bertegur sapa dengan rakan-rakan opsyen Sains ini, malahan ada yang tak pernah saya tegur pun semasa di institut lantaran kedudukan bilik mereka yang agak jauh di blok sebelah dan pertemuan yang sekadar berselisih dan sepintas lalu di institut. Awalnya memang terasa agak kekok, apatah lagi saya adalah peserta tunggal daripada opsyen Rekabentuk dan Teknologi (RBT). Entah macam mana saya boleh terselit sekali dalam program mereka ini. Maaf ya kalau ada yang tak menyenangi kehadiran saya. Jangan risau. Niat saya cuma untuk berjalan-jalan, bukan mengganggu sesiapa. =)
Secara keseluruhannya, program ini sangat bermakna buat saya. Setiap hari melalui aktiviti luar seperti kembara hutan dan meredah sungai benar-benar memberikan pengalaman yang sangat menarik. Betul. Ini bukan kali pertama saya mengikuti aktiviti seperti ini. Tapi biasalah, setiap program itu pasti ada keistimewaannya yang tersendiri. Kebaikan dan kemesraan rakan-rakan Sains dan rakan peserta lain program ini membuatkan saya cepat biasa dan berasa seronok menjalani aktiviti bersama-sama dengan mereka. Program ini juga dijalankan secara santai, menambahkan lagi keseronokan kami sepanjang berada di sini. Tiba-tiba terasa seperti nak mengulang semula saat-saat indah itu.
Entri sudah ditaip separuh, sayang pula kalau tak ditamatkan. Maaf. Stail penulisan saya memang begini, agak poyo sedikit. Ikuti catatan yang tak seberapa ini.
*******************************************
Jumaat - 6 Julai 2012
Kami berkumpul di tempat letak bas institut pada jam 2.10 petang. Peserta program ini ialah seramai 30 orang. 21 pelajar opsyen Sains, manakala selebihnya ialah peserta dari opsyen lain seperti saya.
Kira-kira jam 2.40 petang, kami bertolak meninggalkan perkarangan institut.
Perjalanan sejauh kira-kira 140 kilometer mengambil masa kira-kira 3 jam melalui jalan yang bengkang-bengkok dan sempit menuju Jemaluang.
Suatu masa dahulu, jalan ke Jemaluang ini merupakan laluan utama dari Kluang ke Mersing. Tapi sekarang, pemandu lebih selesa menggunakan jalan Felda Nitar yang lebih lurus. Jalan ke Jemaluang ini sekarang sunyi sepi dan sudah kurang terurus. Sangat menakutkan untuk memandu sendirian di sini, terutamanya di waktu malam.
Kira-kira jam 4.40 petang, kami berhenti untuk solat Asar di Kahang.
Kami tiba di Pusat Pemuliharaan Burung Kuang Jemaluang pada kira-kira jam 6 petang.
Setibanya di sini, taklimat terus diberi tentang cara memasang dan menanggalkan khemah. Taklimat diberikan oleh fasilitator kami, Abang Samad.
Bekerjasama membina khemah. |
Khemah yang telah siap. =) |
Khemah-khemah peserta lain. |
Laluan kami setiap hari dari tapak khemah ke tempat aktiviti. |
Tempat makan. |
Makan malam. |
Aktiviti pada malam ini bermula pada kira-kira jam 9.30 malam dengan sesi pembukaan diikuti dengan sesi suai kenal atau ice-breaking. Sepatutnya aktiviti ini dijalankan pada waktu petang. Tapi disebabkan tak sempat sampai pada masanya, maka aktiviti ini dibawa ke waktu malam.
Sesi pembukaan program. |
Program malam ini diteruskan lagi dengan sesi taklimat jabatan. Melalui taklimat ini kami berpeluang mengenali Jabatan Perhilitan ini dengan lebih mendalam lagi. Banyak maklumat yang disampaikan kepada kami, terutamanya berkaitan perlindungan hidupan liar di Malaysia.
Tayangan slaid dan penerangan mengenai jabatan. |
Bersedia sebelum menjalani aktiviti. |
Sabtu - 7 Julai 2012
Pagi. Seawal jam 5.30 lagi kami sudah bangun dari tidur. Mempersiapkan diri sebelum menghadap Tuhan pencipta alam. Suasana pagi sangat menenangkan. Kesejukan mencengkam sampai ke sumsum tulang.
Selesai solat. Duduk sementara menunggu aktiviti. |
Gambar joging je yang ada. =) |
Kira-kira jam 8 pagi, kami semua sudah bersedia untuk memulakan aktiviti. Terdapat 3 aktiviti yang disediakan, iaitu Pemerhatian Hidupan Liar, Kembara Alam Semulajadi dan Pandu Arah. Aktiviti ini dijalankan secara bergilir-gilir mengikut kumpulan.
Untuk pagi ini, giliran kumpulan kami untuk aktiviti Pemerhatian Hidupan Liar. Fasilitator kami untuk aktiviti ini ialah Kak Dayah. Kami dibekalkan dengan binokular.. atau bahasa kampungnya, teropong jauh. Kegunaannya adalah untuk meneropong dan mengenalpasti ciri-ciri yang terdapat pada burung-burung di sekitar kawasan ini.
Kak Dayah menerangkan cara menggunakan teropong. |
Merujuk kitab-kitab untuk mengenalpasti spesies. |
Penulis.. =) |
Kira-kira jam 11 pagi, aktiviti pun disambung. Kali ini, giliran kumpulan kami untuk melakukan aktiviti Kembara Alam Semulajadi bersama fasilitator Abang Fahmi.
Fasilitator Abang Fahmi. |
Abang Fahmi sedang memberikan penerangan. |
Kesan cakaran beruang matahari. |
Kesan tapak kaki gajah. |
Selepas sesi refleksi, kami kembali ke tapak perkhemahan. Berehat, makan tengah hari dan solat berjemaah. Menjelang jam 2 petang, hujan turun mencurah-curah.
Aktiviti sebelah petang bermula dengan taklimat burung kuang pada kira-kira jam 2 petang. Taklimat disampaikan oleh Abang Nazri (maaf kalau tersalah.. harap diperbetulkan). Dalam taklimat ini kami diberikan maklumat-maklumat mengenai burung kuang seperti ciri-cirinya, kaedah pembiakan dan lain-lain. Selain itu, ada juga tayangan video burung kuang mengawan. Unik bila melihat burung tersebut mengembangkan bulunya dan menari untuk menarik perhatian burung betina. Setiap peserta juga berpeluang memegang telur dan bulu burung kuang serta bulu merak hijau.
Kiri: Bulu burung kuang. Tengah: Telur burung kuang. Kanan: Bulu burung merak hijau. |
Kira-kira jam 3.40 petang, hujan mulai reda. Bersiap-siap untuk melakukan aktiviti luar.
Pada petang ini ada 2 aktiviti yang akan kami lakukan, iaitu lawatan ke tapak periuk kera dan jejak si buta.
Maaf.. kamera tak dapat dibawa dalam kedua-dua aktiviti ini kerana memerlukan kami untuk meredah air. Tak sanggup rasanya mengorbankan 'isteri' kesayangan ini di dalam air. Haha. Doakanlah, ada rezeki nanti bolehlah saya beli kamera yang kalis air pula. =)
Tapak periuk kera ini terletak tidak jauh daripada kem kami. Kawasan ini merupakan kawasan yang agak lapang, tidak ada pokok-pokok besar yang tumbuh di kawasan ini. Mungkin kerana muka bumi yang berbatu, sekali pandang nampak macam bekas tapak kuari. Pelbagai spesies periuk kera ada di sini, nama-namanya tak dapat saya ingat.
Wajah-wajah gembira. |
Selesai aktiviti tersebut, kami kembali ke kem untuk makan, berehat dan solat.
Aktiviti seterusnya bermula pada sebelah malam. Kami ditayangkan dengan 2 video, iaitu video mengenai Taman Negara dan video pemindahan gajah. Banyak ilmu baru yang kami perolehi daripada tayangan ini.
Selepas tayangan video, kak Dayah mengajukan beberapa soalan untuk para peserta.
Jam 10.30 malam, tiba waktu untuk aktiviti Cengkerik Malam. Pertama kali membaca jadual aktiviti, saya fikir aktiviti ini ialah aktiviti masuk ke hutan untuk tidur berteman bunyi cengkerik (asik ingat tidur je). Rupanya para peserta diminta membuat persembahan, kira macam malam kebudayaan lah. Setiap kumpulan perlu membuat 2 persembahan, iaitu nyanyian dan lakonan. Tema persembahan adalah berkaitan dengan alam sekitar. Kumpulan kami membuat persembahan nyanyian lagu Zainal Abidin - Hijau dan lakonan burung kuang. Kelakar bila teringat semula saat ini. Ada lakonan burung kuang yang menggoda, pemburu haram dan wonderpets yang riang sampai nak pecah perut kami ketawa.
Persembahan kumpulan 3. |
Persembahan nyanyian kumpulan kami. |
Wonderpets!. |
'Pemburu haram' kena tangkap. Haha. |
Lakonan. |
Persembahan terakhir. Nyanyian kumpulan 2. |
Nyanyian lagu hari lahir untuk Faizal. |
Ahad - 8 Julai 2012
Pagi ini saya bangun seawal jam 5.15 pagi. Menikmati dinihari terakhir di hutan simpan Jemaluang ini di samping mempersiapkan diri untuk menghadap Tuhan yang menciptakannya.
Suasana pagi ini sangat sejuk, lebih sejuk rasanya daripada pagi sebelumnya. Baju yang dijemur di ampaian juga bukannya semakin kering, sebaliknya semakin basah dek kerana memerangkap wap air dari kabus, mungkin. Jika semasa dijemur semalam cuma sekadar lembap, pada pagi ini baju itu sudah boleh diperah. Tiba-tiba teringat bagaimana manusia melaksanakan sistem perangkap kabus untuk mendapatkan bekalan air bersih di luar negara. Mungkin seperti ini jugalah prinsipnya. Ada juga manfaat dijadikan kabus ini selain untuk menyejukkan suasana.
“ (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia.”
Seawal jam 6.25 pagi lagi kami sudah berkumpul di dataran hadapan pusat ini, menanti abang-abang fasilitator untuk senaman pagi. Namun mereka tak kunjung tiba, mungkin kerana kesejukan suasana yang keterlaluan (haha.. =p ).. lalu kami sekadar menyanyikan lagu Negaraku dan negeri Johor sebelum bersurai kerana hujan sudah mula turun renyai-renyai.
Aktiviti kumpulan kami pada pagi ini agak menarik, iaitu Pandu Arah. Aktiviti ini lebih kurang sahaja dengan aktiviti Orienteering yang pernah saya sertai dahulu. Bezanya, aktiviti ini tak perlukan peserta untuk baca dan menentukan sendiri lokasi berdasarkan peta. Sebaliknya kami cuma perlu cari stesen-stesen yang telah disediakan di dalam hutan berpandukan kompas yang dibekalkan. Untuk aktiviti ini, kumpulan kami 10 orang ini dipecahkan lagi kepada 3 kumpulan kecil. Fasilitator kami untuk aktiviti ini ialah Abang Samad.
Penerangan awal. |
Abang Samad menunjukkan cara menggunakan kompas. |
Tukang shoot arah yang berwibawa. =) |
Sempadan kawasan aktiviti. |
Salah satu stesen. |
Style tak? haha. =p |
Menyemak jawapan yang diterima. |
Ahli kumpulan. Lelaki: Faizal, Khairul, Aizzat, Syukri, penulis Perempuan: Adila, Mya, Hazanah, Adila, Fizah |
Jam 11 pagi, kami mula mengemaskan tapak perkhemahan. Khemah-khemah ditanggalkan dan dibasuh sebelum disimpan. Sampah-sampah yang ada dikutip supaya tidak mencemarkan alam sekitar. Tiba-tiba rasa sayu pulak nak meninggalkan tempat ini.
Kerja-kerja menanggalkan khemah. |
Antara pekerja Alam Flora yang hadir. Haha. *jangan marah ye Ajan*. =) |
Hadiah kenangan kerana berjaya menjawab soalan. |
Fasilitator dan pensyarah yang terlibat. |
Penyerahan sijil. |
Encik Tokiap |
Encik Ahmad |
Puan Fatimah |
Encik Tokiap menerima cenderahati. |
Cenderahati daripada PERHILITAN. |
Menikmati juadah tengah hari terakhir di sini sebelum bertolak pulang ke Batu Pahat.
Kami bertolak pulang pada kira-kira jam 2.45 petang, meninggalkan tempat yang penuh dengan kenangan ini.
*******************************************
Tamat sudah semuanya. Terpahat satu lagi kenangan indah dalam hidup saya. Kenangan yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila. Program ini sememangnya memberi seribu satu erti pada saya. Sekurang-kurangnya dapat juga merapatkan ikatan silaturrahim antara kami yang sebelum ini agak kurang bertegur sapa antara sesama kami.
Di kesempatan ini, diucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam program ini. Terima kasih kepada fasilitator bertugas:
-Abang Zakimi (Mohd Zakimi b. Mat Yunus)
-Abang Fahmi (Muhamad Fahmi bin Zakaria)
-Abang Samad (Abdul Samad bin Kosni)
Dan fasilitator lain yang tak sempat saya temui, Kak Dayah, Abang Khafif, Abang Nazri.
Terima kasih juga buat pensyarah pengiring:
-Encik Tokiap
-Encik Ahmad
-Puan Fatimah
Juga ribuan terima kasih buat rakan-rakan opsyen Sains yang sudi menjemput saya menyertai program ini serta buat rakan-rakan peserta lain:
-Ayub
-Aizzat
-Khairul
-Hafizi
-Fatehana
-Adila
-Alia
-Nadia
Kenangan indah yang takkan pernah terpadam dari memori. Semoga ikatan persahabatan yang terjalin ini akan berterusan sehingga ke akhir hayat.
Sekian.
4 comments:
Bravo Man :D
tahniah!
detail betul penceritaan, tapi menarik! ;)
:)
@Syukri Sapuan:
Thanks banyak-banyak Syuk! Kalau ko x ajak, tak merasa lah aku ikut program ni. huhu. =)
@Khairul Hakimin:
Terima kasih. Hehe. Dah terbiasa menaip panjang-panjang macam ni. Tq sebab sudi baca. =)
@Filzah.Sofia:
Thanks ye Fizah. =)
Post a Comment