Penulis tidak bertanggungjawab atas segala kesulitan yang timbul akibat daripada penggunaan sebarang bahan dalam blog ini. Sebarang maklumat yang tercatat dalam blog ini adalah hampir tepat pada tarikh penulisan tetapi mungkin berubah mengikut keadaan semasa.

Sekiranya ada sebarang pertanyaan yang berkaitan, sila tuliskan di ruangan komen atau e-melkan kepada penulis. Komen anonymous dibenarkan, tetapi anda digalakkan untuk meninggalkan komen dengan mendaftar masuk akaun Google atau Blogger masing-masing.

Sebarang komen yang tidak berpatutan atau difikirkan tidak sesuai akan dibuang selaras dengan Akta Keterangan (pindaan 2012) di mana pemilik blog bertanggungjawab terhadap segala komen yang disiarkan.

Pemilik rumah penginapan atau homestay juga dibenarkan tulis iklan di ruangan komen. Terima kasih. =)

Tuesday, March 13, 2012

A Story of The Blue Coach - Malayan Tiger Train (MTT)

Perkhidmatan tren Harimau Malaya, atau lebih dikenali sebagai Malayan Tiger Train (MTT) ini merupakan perkhidmatan tren antarabandar yang terbaru dilancarkan di Malaysia. Tren ini memulakan perkhidmatan pada Disember 2011. Ia bergerak bagi laluan Johor Bahru Sentral (JB Sentral) ke Tumpat dan berhenti di stesen-stesen utama di sepanjang perjalanannya. Pada saya, tren Harimau Malaya ni sangat istimewa sebab ia merupakan tren yang menggunakan gerabak hadiah daripada kerajaan Jepun.

Sedikit info dan cerita mengenai gerabak hadiah dari Jepun ni:

Nama asal perkhidmatan tren ni di Jepun ialah Fuji-Hayabusa Sleeper Train. Di Jepun, ia juga dikenali dengan nama Tren Biru (Blue Train) kerana gerabaknya yang dicat dengan warna biru. Gerabak ni dibuat di Jepun pada tahun 1958 (menurut sumber dari KTMB).
Perkhidmatan asal tren Biru di Jepun. Sumber: Wikipedia.
Di Jepun, kereta api ini digunakan bagi perkhidmatan kereta api malam antara Tokyo ke Kumamoto di bawah seliaan syarikat Japan Railway (JR Kyushu). Kereta api ni sangat terkenal di Jepun, dan pernah mendapat gelaran 'Hotel Bergerak'. Tambahan pulak, orang Jepun memang sangat suka menaiki kereta api.

Berikutan peningkatan kemajuan dalam industri pengangkutan Jepun seperti kapal terbang dan kereta api khususnya, laluan kereta api laju pun dibuka. Masa perjalanan juga jadi singkat. Oleh itu, permintaan untuk tren perjalanan malam pun semakin berkurangan. Orang dah taknak lagi naik sebab makan masa yang panjang berbanding kereta api laju. Oleh itu, atas sebab penurunan jumlah penumpang dan kurangnya keuntungan, tren biru ni pun dihentikan perkhidmatannya dan gerabaknya diberikan kepada beberapa negara yang mempunyai hubungan baik dengan Jepun. Malaysia mendapat 14 buah gerabak, Thailand menerima 126 gerabak manakala Indonesia menerima 70 buah koc kereta api elektrik.
MTT di Platform 4 JB Sentral
Gerabak-gerabak ni diberikan secara percuma kepada Malaysia. Kerajaan Malaysia cuma perlu bayar kos logistik sahaja (kos untuk membawa gerabak-gerabak berkenaan dari Jepun Ke Malaysia). Setelah melalui perjalanan yang panjang, akhirnya gerabak-gerabak ini tiba di Westport, Klang pada Disember 2010.

Selepas ketibaannya, gerabak-gerabak tersebut tak boleh terus digunakan di landasan kereta api Malaysia. Banyak pengubahsuaian yang perlu dijalankan sebelum ia boleh mula berkhidmat dengan baik.

Di Jepun, landasan kereta apinya menggunakan ukuran landasan jenis Cape Gauge, selebar 1067mm atau 3' 6". Manakala di negara kita Malaysia ni, ukuran yang digunakan ialah Meter Gauge, iaitu 1000mm atau 3' 3 3/8". Roda kereta api tu takkan muat nak masuk ke landasan Malaysia kerana saiz landasan mereka yang lebih lebar daripada landasan Malaysia. Bezanya memang kecil je, cuma 6.7 cm. Tapi kalau terus digunakan untuk perkhidmatan, berkemungkinan akan menyebabkan besi landasan terkopak atau tercabut, dan paling teruk lagi akan menyebabkan roda tren terkeluar dari landasan dan tren akan tergelincir (derailed). Oleh itu, pengubahsuaian mesti dilakukan. Bahagian bogie kereta api (set roda) mesti diubahsuai kepada ukuran yang boleh dimuatkan ke landasan Malaysia (dikecilkan dari 1067mm kepada 1000mm).
Benda gedabak berserta roda di bawah tren ni dipanggil Bogie.
Gauge ialah ukuran jarak antara dua besi landasan.

Selain tu, sistem elektrik dalam koc seperti pendingin hawa dan plug elektrik ditukar kepada sistem Malaysia. Tren ini turut dicat semula dengan warna biru dan sedikit warna oren di kedua-dua hujung setiap gerabak.
Selesai sesi pengubahsuaian, gerabak ini perlu menjalani ujian (test run) untuk memastikan ia dapat berkhidmat di landasan Malaysia dengan baik. Setelah semuanya selesai, maka tren ini pun memulakan perkhidmatannya dengan majikan barunya, iaitu Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi laluan JB Sentral - Tumpat - JB Sentral. Tren ini diberi nama Malayan Tiger Train (MTT), kerana ia melalui kawasan hutan negeri Pahang dan Kelantan, di mana banyak Harimau Malaya yang mendiami kawasan tersebut.
Majikan baru - KTM Intercity. =)
Disebabkan ketinggiannya yang lain daripada gerabak kereta api milik KTMB, gerabak tren Biru ini tidak dapat digunakan di laluan Pantai Barat Semenanjung Malaysia kerana kewujudan overhead cable yang bervoltan tinggi bagi kegunaan ETS dan EMU Komuter.. Bumbung kereta api ni akan jejak kepada kabel tersebut dan boleh menyebabkan bahaya kepada penumpang.
ETS = Electric Train Set
EMU = Electric Multiple Unit

Pintu masuk koc kabin.
Laluan di koc kabin.

Pada awal ketibaannya ke Malaysia, banyak pihak yang mengutuk tindakan kerajaan Malaysia menerima gerabak lama berkenaan. Mereka menggambarkan seolah-olah kerajaan Malaysia menerima "sampah" daripada Jepun. (Bagi mereka, kereta api tu adalah sampah kerana mereka menganggap kerajaan Jepun tiada tempat untuk melupuskan gerabak kereta api lama lalu memberikannya kepada Malaysia dengan harapan ia akan reput di sini). Biasa lah rakyat Malaysia ni egonya tinggi. Berlagak. Semua nak barang baru. Nak berjenama. Tak pernah naik tapi nak kutuk. Kesian tren ni. Datang dengan niat baik nak berkhidmat, tapi kena kutuk pulak dengan rakyat Malaysia. Bayangkan kalau tren tu ada hati dan perasaan, mesti diorang sedih dan jalan balik ke Jepun balik.

Tak kenal maka tak cinta. Peluang menaiki tren tersebut baru-baru ni membuktikan kata-kata orang mengenai tren "sampah" ni tak benar sama sekali. Kereta api ni bukan sampah!. Walaupun dah berusia lebih 40 tahun, keadaan gerabak ni masih elok. Dalamannya masih cantik dan berfungsi dengan baik.
Pintu pembahagi ruang kabin dan pintu keluar
Itu semua sebenarnya melibatkan mentaliti masing-masing. Untuk pengetahuan, orang Jepun tak ganas macam orang Malaysia. Mereka sangat menjaga kemudahan awam mereka dan tidak sewenang-wenangnya merosakkan peralatan dalam tren tu. Tak macam orang Malaysia. Pantang ada benda baru, mesti nak usik. Tak payah cerita tren je. Naik la bas awam, mesti belakang seat tu ada contengan-contengan yang lucah dan tak senonoh. Bawah seat dan celah dinding mesti ada sampah atau chewing gum yang terlekat. Pergi ke tandas awam, belakang pintu mesti ada nombor telefon dan contengan yang entah apa-apa. Paling dahsyat sekali, pintu tandas berlubang, tandas tak ada paip sebab dah patah dan lain-lain lagi. Malahan, cermin tingkap kereta api yang tebal itu pun boleh pecah gara-gara tangan rakyat Malaysia.
Koc katil kelas dua. Katilnya berkedudukan melintang.
Gerabak ni sememangnya berbeza dengan gerabak tren antarabandar sedia ada milik KTMB. Antaranya ialah ruang dalaman dan laluan tengah (aisle) yang lebih lebar memudahkan penumpang untuk bergerak di dalam kereta api. Tapi mungkin kerana saiz orang Jepun yang tidak sebesar mana, kerusi kelas dua ini juga lebih kecil sedikit daripada kelas dua dalam gerabak KTMB (tak tahu la perasaan je kut).
Gerabak tempat duduk kelas dua.
Tengok dari luar, gerabak ini memang lebih tinggi dari gerabak biasa milik KTMB, terutamanya bagi koc katil dan kabin. Sebab itulah ia tak sesuai digunakan di laluan pantai barat Semenanjung Malaysia di mana terdapatnya overhead cable.

Selain itu, setiap 2 tempat duduk disediakan satu meja kecil macam ni:

Setiap gerabak kereta api ini juga dilengkapi dengan generator masing-masing yang dipasang di bahagian bawah gerabak. Oleh itu, kereta api tak perlu lagi membawa Power Generator Car (PGC) atau PGU sepertimana kereta api lain milik KTMB. Dan satu lagi kelebihannya ialah, kalau generator pada satu gerabak rosak, gerabak tu boleh dapatkan bekalan elektrik daripada gerabak bersebelahan.

Bahagian penyambung gerabak tren ini juga dipasangkan dengan kanvas di sekeliling laluan penumpang. Jadi penumpang tak takut untuk melintas antara dua gerabak. Dan kalau barang jatuh pun, ia takkan jatuh terus ke atas landasan, sebaliknya jatuh ke atas kanvas tu je.
Tak takut.. tak takut.. =p
Bagi gerabak kereta api antarabandar milik KTMB, kebiasaannya setiap gerabak dilengkapi dengan dua buah tandas. Satu tandas cangkung dan satu tandas duduk. Namun, bagi kereta api Malayan Tiger ni, setiap gerabak kereta api ni cuma dilengkapi sebuah tandas sahaja. Manakala ruang sebelah tandas (di mana biasanya ada tandas kedua bagi gerabak KTMB) cuma dipasangkan sinki dan cermin untuk membasuh muka atau tangan.
Sinki untuk basuh muka.
Yang paling best, kalau anda naik tren ini, anda akan rasa seperti menaiki tren di negara matahari terbit tu. Ini kerana banyak papan tanda dan arahan serta panduan yang dikekalkan dalam bahasa Jepun untuk mengekalkan identiti asal usul gerabak ini. Cuma ada arahan-arahan penting yang ditambah dalam bahasa Inggeris supaya dapat difahami.









Pintu gerabak juga dibuka secara lipat ke tepi. Baru lah tak ragu-ragu nak bergayut kat pintu masa tren tengah speeding. Tak macam pintu gerabak biasa tu, kalau tengah bergayut tiba-tiba tertutup, maut lah tercampak.. haha.. =p
Pintu tertutup.
Pintu terbuka.
Pintu penyambung gerabak. Tebal gile.

Sekian, coretan dari si penggila kereta api. =)



















7 comments:

abikwan said...

nice entry .. tenagh taip pasal entri gerabak ni.. tapi takde la byk gambar mcm kamu.. wow,, nice one.

Hazman Amini said...

Terima kasih.. kalau awak nak gunakan gambar dari blog saya dalam entri awak, silalah.. semoga entri ini bermanfaat kepada awak. =)

Anonymous said...

sy rase seram tgk blue train ni...old school tu dr 1958...mcm2 bnda dh jadi...tp style...

RioAzzaro said...

awat tak tjuk pic yg dalam cabin nyer...bulan depan nak try naik train nie

Hazman Amini said...

@Anonymous Oct 19:
haha. tak de lah. semua dah cat baru. cantik dah gerabaknya. cuba lah naik. seronok. :D

@RioAzzaro:
Hehe. Tak cukup bajet nak naik gerabak kabin n perjalanan pun dekat je. Tapi kat website KTM ada kalau tak silap. Cubalah naik tren ni. InsyaAllah seronok. =)

Muhammad Zulhilmi said...

Tapi sekarang dah tak ada tren ni. Kenapa ya?

Tren waktu pagi juga dihentikan sebab tengah buat pembaikan landasan antara Gemas ke Gua Musang.

Time nak beli tiket secara online, cuma 1 gerabak aje dibuka untuk 2 jualan. Lagi 2 gerabak, hmmmm....

Hazman Amini said...

@Muhammad Zulhilmi:

Tren ni masih ada lagi, cuma rasanya dah tak guna untuk ekspres. Kalau kat selatan, mereka guna untuk servis tren mel Woodlands - Gemas - Woodlands, tren no 91/92. Biasanya consist 3 gerabak.

Kat pantai timur pun ada rasanya sebab saya ada nampak mereka parking di depoh tumpat. :)