Penulis tidak bertanggungjawab atas segala kesulitan yang timbul akibat daripada penggunaan sebarang bahan dalam blog ini. Sebarang maklumat yang tercatat dalam blog ini adalah hampir tepat pada tarikh penulisan tetapi mungkin berubah mengikut keadaan semasa.

Sekiranya ada sebarang pertanyaan yang berkaitan, sila tuliskan di ruangan komen atau e-melkan kepada penulis. Komen anonymous dibenarkan, tetapi anda digalakkan untuk meninggalkan komen dengan mendaftar masuk akaun Google atau Blogger masing-masing.

Sebarang komen yang tidak berpatutan atau difikirkan tidak sesuai akan dibuang selaras dengan Akta Keterangan (pindaan 2012) di mana pemilik blog bertanggungjawab terhadap segala komen yang disiarkan.

Pemilik rumah penginapan atau homestay juga dibenarkan tulis iklan di ruangan komen. Terima kasih. =)

Tuesday, May 14, 2013

Praktikum 1 : SK Parit Bilal

Praktikum pertama. Satu pengalaman yang sangat menarik dan berguna.

Alhamdulillah. Selesai menjalani praktikum pertama baru-baru ini. Praktikum kami bermula pada 1 April 2013 sehingga 26 April 2013, walaupun pada 27 April kami lagi masih ke sekolah, secara tidak formal.

Sepertimana PBS, untuk praktikum juga kami perlu ke sekolah. Bezanya, jika semasa PBS kami cuma ditugaskan untuk merayau dan mengumpul maklumat di sekitar sekolah untuk menyiapkan tugasan, bagi praktikum ini pula kami perlu mengajar kelas-kelas tertentu yang telah ditetapkan mengikut tempoh yang diberi. Lebih kurang macam cikgu biasa lah, cuma kami belum diberikan gaji dan kami tak perlu terlibat dengan perkara-perkara lain yang tak berkenaan.

Praktikum selama sebulan ini banyak pengalaman berharga buat saya. Pengalaman mengajar secara serius, mengikut tajuk sebenar yang diajarkan guru sebenar. Pengalaman mengikuti aktiviti kokurikulum, pengalaman tidur di sekolah pada hujung minggu kerana membantu guru-guru mengelolakan perkhemahan (tidur dalam kelas je sebenarnya) termasuklah pengalaman diganggu pada malam tersebut. Dan banyak lagi.
pic: Encik Google (skparitbilal.edu.my)

Sekolah Kebangsaan Parit Bilal, Batu Pahat. Letaknya betul-betul di hadapan Tasik Merdeka di Batu Pahat. Oh, mungkin ramai yang tak tahu Tasik Merdeka. Tasik ni ialah tasik di depan WetWorld Batu Pahat. Senang ceritanya, sekolah ni terletak di depan WetWorld ni lah.

Jumlah murid sekolah ini ketika kami sampai ialah 849 orang. Ramai. Jauh berbeza dengan sekolah rendah saya dahulu (kalau tak silap lah). Setiap darjah ada 4 kelas dan setiap kelas ada sekitar 25 - 35 orang murid.
Perhimpunan Mingguan. Penuh satu dewan.
Sekolah ini bukan saya yang pilih. Saya dihantar ke sini kerana kami ada bertiga, bersama Akmal dan Haziq daripada satu opsyen yang sama iaitu Rekabentuk dan Teknologi (RBT), dan disebabkan itu kami perlu pilih sekolah yang besar dengan jumlah murid yang ramai untuk memenuhi keperluan jam mengajar kami. Dan biasanya saya memang jenis tak kisah, campaklah ke sekolah mana pun, saya akan cuba biasakan diri dan buat yang terbaik. Selain kami bertiga, ada juga rakan-rakan dari opsyen lain. Hazirah dan Nadiah (P.Islam), Husna dan Adilah (Sains), Nazian dan Fairuz (Pra), serta Chuah dan Yvonne (Matematik).
Kawasan sekolah. Blok tinggi tu paling hujung sekali.
Buku daftar kehadiran guru praktikum.
Tak kenal maka tak cinta. Sekolah ini sememangnya sekolah yang baik. Dengan guru-guru yang baik hati dan peramah. Selalu membantu bilamana kami perlukan bantuan. Cikgu-cikgu yang sempoi, tak pernah jemu menegur, ajak berborak walaupun kadang-kadang saya macam layan tak layan pada awalnya (segan sebenarnya sebab tak biasa lagi), akhirnya bila dah mula biasa, rasa macam tak mahu berhenti berborak pulak. Pendek kata memang tak bosan duduk di sini.

Bilik guru sekolah ni ada dua. Digelar bilik guru atas dan bilik guru bawah.
Bilik guru bawah.
Praktikum pertama ini, saya diberi tugas untuk mengambil alih kesemua empat (4) kelas tahun lima iaitu 5 Delima, 5 Mutiara, 5 Berlian dan 5 Zamrud bagi mata pelajaran Kemahiran Hidup. Melibatkan kelas Kemahiran Hidup bagi 2 orang guru iaitu guru pembimbing kami, Cikgu Sani dan Cikgu Norlini. Selepas berbincang, ternyata mereka memang baik hati dan cuba membantu memudahkan urusan saya. Saya diberikan tajuk 2 untuk diajarkan di dalam kelas, selaras bagi keempat-empat kelas. Alhamdulillah, mudah urusan saya sebab RPH yang sama boleh digunakan sepanjang minggu dengan pengubahsuaian yang minima.
Akmal sedang menyediakan bahan untuk projek.
Peralatan untuk kerja pertukangan.
Alhamdulillah, sebab kami dikurniakan cikgu pembimbing yang sangat membantu. Cikgu Mohd Sani bin Rashid. Beliau yang cadangkan supaya saya ambil tajuk yang sama bagi semua kelas tahun lima ini. Beliaulah yang sediakan pelbagai barangan dan peralatan supaya kami boleh jalankan projek di sekolah. Beliau juga yang cadangkan saya supaya bimbing murid-murid buat projek yang ringkas yang dah tersedia kat belakang bengkel tempat baginda bersemayam. Senang, tinggal nak pasang je. haha.
Bahan untuk tunjuk cara.
Pertama kali masuk ke kelas pada 2 April 2013, saya masih ingat pada ketika itu jadual saya ialah kelas 5 Mutiara dan Cikgu Norlini (kami panggil kak Lini) bersama saya ke kelas pada ketika itu. Kawalan kelas memang gagal, sehinggakan kak Lini perlu ambil alih mengawal kelas. Saya kenal dia sebagai seorang yang garang pada hari itu. Tapi pada hari itu banyak input yang dia berikan kepada saya, yang jadi panduan sampai saya tamat praktikum di situ dan mungkin untuk hari-hari mendatang. Hari-hari berikutnya, saya mula kenal dia sebagai seorang yang selamba dan suka bergurau. Selalu goyang-goyang kerusi kawan saya Hazirah dan pukul-pukul dia manja dengan buku.
ABM minggu pertama.
Minggu pertama ke kelas, memang terasa tertekan. Mungkin kerana baru mula nak biasakan diri, dengan RPHnya, dengan portfolionya, minggu pertama dah ada buku nak ditanda, dengan murid-murid yang saya masih tak biasa dan macam-macam ragamnya. Pelbagai ragam murid saya jumpa. Ada yang asik tenung meja sampai 'tembus', ada yang tak boleh duduk diam, ada yang main chapteh dalam kelas masa saya mengajar. Tapi pada hari-hari terakhir kami di sini, mereka inilah yang membuat kami terharu dengan penghargaan yang mereka berikan sebelum kami berlalu.
Jom tanda buku! =)
Saya dipantau sebanyak beberapa kali oleh guru pembimbing, selain dua kali oleh pensyarah pembimbing kami. Syukur juga kami diberikan pensyarah  yang rapat dengan kami iaitu Pn Norzalia. Kami memang rapat sejak beliau mengajar subjek pertanian untuk kelas kami semasa semester 2 dahulu. Rapat bukan bermaksud saya nak bodek-bodek untuk markah lebih. Tidak. Maksudnya senang untuk kami berbincang tentang apa yang kurang dan penambahbaikan yang perlu.

Minggu-minggu berikutnya, saya mula dapat biasakan diri dengan persekitaran, biasakan diri dengan kelas, dengan rph dan sebagainya. Mula terasa macam guru sebenar dek kerana keramahan guru-guru di situ.

Selain kelas, kami ada juga tugasan lain seperti membantu pihak sekolah untuk kerja-kerja berkaitan. Contohnya, kami diminta untuk tolong hiaskan bilik Kemahiran Hidup dan Bilik Muzik. Kebetulan pulak ada program Pengarah Turun Padang.
Hiasan untuk Bilik Muzik.
In progress.
**Kawan perempuan yang sorang ni hebat sebab berani memanjat tinggi-tinggi. Dia memang tak kenal perkataan 'TAKUT'. Haha.. =P

Kokurikulum di sini dijalankan pada hujung minggu iaitu hari Sabtu. Mengenangkan kami cuma sebulan di sini, saya tak lepaskan peluang menyertai setiap aktiviti kokurikulum yang sekolah laksanakan, termasuk bermalam di sekolah semasa perkhemahan pada hujung minggu kedua.
Perjumpaan Tunas Kadet Remaja Sekolah.
Belajar cara memakai anduh.
Kebetulan semasa minggu kedua kami di sini pihak sekolah menganjurkan perkhemahan bersepadu unit beruniform. Perkhemahan berlangsung selama dua hari tapi saya cuma terlibat pada malam dan hari kedua sahaja. Nama je perkhemahan tapi murid dan cikgu-cikgu bermalam di dalam bangunan sekolah.
Persembahan zapin pada malam kebudayaan.
Pengalaman bermalam di sekolah itu pun mendatangkan kenangan di mana saya tertidur dalam kelas kosong bersebelahan kelas tempat murid-murid tidur gara-gara cari soket elektrik untuk on laptop. Pengalaman diganggu di mana pada mula saya duduk online di situ, tiba-tiba kertas-kertas dan buku dalam laci meja paling belakang dalam kelas tu tiba-tiba terjatuh keluar. Terjaga dari tidur disebabkan angin kuat kira-kira jam 3 pagi, tingkap-tingkap yang saya tutup tadi dah terbuka semula. Bukan semua tingkap terbuka,, cuma tingkap-tingkap yang saya sendiri tutup tadi. Terpaksa panggil anak murid teman nak ambil barang dalam kelas tu.
Berkumpul sebelum senaman pagi.
Pertandingan kawad kaki antara unit beruniform.
Bergambar beramai-ramai. 
Sepanjang sebulan di sekolah, sempat juga merasa jadi budak-budak. Ada sekali lori Koko Crunch datang. Mula-mula masing-masing buat saja. Tak nak la tunjuk macam mengidam sangat. Sampai waktu rehat baru kitorang pergi kat lori tu. Kecewa tengok lori tu dah kemas nak balik. Tak pe lah. Dapat bergambar pun jadi lah.
Ceh... dah kemas la. grr..
Lori kenangan.
Rupa-rupanya cikgu Safberi, PK HEM, dah simpankan untuk semua cikgu-cikgu dan untuk kami juga. Seronok. Terasa macam kembali ke zaman kanak-kanak pulak.
Dah save untuk kami. haha.
Terlalu gembira hinggakan kami jalan satu sekolah bawak Koko Cruch tu dan hantar kat setiap cikgu-cikgu di kedua-dua bilik guru.
Banyak ouh. huhu.
Teringat masa zaman kanak-kanak dulu selalu ada orang luar datang bagi makanan kat sekolah macam ni. Koko Crunch, Honey Star ada datang jual susu segar. Seronok zaman kegemilangan kami dahulu.

Menghampiri minggu terakhir praktikum, hati rasa makin sayu. Mungkin kerana saya dah mula rasa selesa dengan sekolah ini. Selesa dengan suasananya, dengan warganya, dengan muridnya. Mungkin juga saya rasa lebih tenang di sini.
Cikgu yang dilarikan oleh budak-budak. haha
Minggu terakhir. Banyak kelas yang mengadakan jamuan perpisahan. Terharu. Walaupun pada awal saya di sini agak tak ngam dengan mereka tapi akhirnya mereka yang berjaya menyentuh hati kami.

Berderet-deret jamuan kelas pada minggu terakhir kami di sini. Selasa, 5 Mutiara. Khamis, 5 Delima. Jumaat, 5 Zamrud.
Kek kelas 5 Mutiara.
Persembahan nyanyian murid 5 Mutiara.
5 Mutiara lagi.
Jamuan kelas 5 Mutiara ni lebih kurang sejam lebih sebelum saya diobserve oleh pensyarah dan guru pembimbing untuk penilaian akhir dengan kelas 5 Mutiara ini juga.
Kek kelas 5 Delima.
Nyanyi lagi.
Sebahagian murid kelas 5 Delima.
Hari Jumaat: Kelas 5 Zamrud.
Kek kelas 5 Zamrud pulak. Kali ni ada dua kek.
Ok. Persembahan 5 Zamrud pulak.
Makan lagi. hoyeh2. =)
Yang uniknya, semua persembahan nyanyian tu mereka nyanyikan lagu yang sama. Lagu Najwa Latif alau tak silap tajuknya Terima Kasih Cikgu. Tak tahu la memang pakat atau apa. Mungkin juga kerana faktor ibu kepada penyanyi lagu tu mengajar di sekolah ini. haha.

Sesi nangis-menangis itu wajib. Tapi rasanya tak sampai hati nak letak gambar mereka di sini. huhu.

Oh. Lupa nak cerita. Ibu kepada penyanyi Najwa Latif merupakan seorang cikgu di sekolah ni. Saya sendiri cuma tahu pada minggu kedua atau ketiga kami di sini walaupun kami duduk dalam bilik guru yang sama dan berjumpa setiap hari. Sebelum itu borak macam biasa je sebab tak kenal pun. Tapi beliau memang seorang yang baik dan ramah.
Yang berdiri tudung merah itulah ibu Najwa Latif. =)
Hari Jumaat tu cikgu-cikgu pun ada jamuan. Tak pasti sama ada meraikan sempena dah lepas Program Pengarah Turun Padang atau sempena hari terakhir kami di sekolah ini. Mungkin kedua-duanya sekali kut.
Kek yang sedap.
Pendek kata,sekolah ini sangat menarik dan menggembirakan. Bersyukurlah sesiapa yang memilih atau dihantar ke sekolah ni untuk praktikum atau posting sekalipun.

*****************************


Tamat satu lagi episod dalam kehidupan. Praktikum pertama yang melakar banyak sejarah dan kenangan.

"...masa berlalu, tanpaku menyedari..."

Tiba-tiba terasa sayu. Kalau diberi pilihan, tak mahu rasanya meninggalkan. Mungkin saya lebih tenang di sini. Mungkin saya lebih bahagia di sini.

Selamat tinggal murid-murid yang baik. Walaupun nakal, mereka tetap menyenangkan hati. Semoga berjaya dan menjadi orang yang berguna di dunia dan di akhirat, insyaaAllah. Jaga diri, jaga iman, jaga hati. Doa cikgu sentiasa mengiringi kalian.
Cikgu melayan anak muridnya.
Selamat tinggal cikgu-cikgu yang baik hati dan ramah. Perkenalan tak sampai sebulan, tapi layanan mereka seolah-olah kami dah kenal lama. Mereka yang sentiasa memberi sokongan bila tahu kami akan dipantau. Tak pernah rasa bosan duduk di bilik guru, ada sahaja perkara yang nak dibualkan dan diguraukan. Seronok.

Selamat tinggal Sekolah Kebangsaan Parit Bilal, Batu Pahat, Johor dan seluruh warganya. Terima kasih atas segala pengalaman berharga yang telah kami lalui di sini. Terima kasih atas layanan yang baik. Terima kasih atas segalanya.

Terima kasih rakan-rakan praktikum pertama ini seramai sebelas orang. Haziq, Akmal, Hazirah, Nadiah, Adilah, Husna, Chuah, Yvonne, Fairuz dan Nazian. Gembira berpraktikum dengan anda semua. Terima kasih atas bantuan dan sokongan selama ini. Semoga kita semua sama-sama berjaya.

Maaf atas sebarang kesalahan atau kekurangan. Dan terima kasih semua.

*****************************


InsyaAllah praktikum seterusnya pada Julai 2013.. Sekolah Kebangsaan Parit Raja Batu Pahat. =)



1 comment:

Anonymous said...

Salam. Tahniah buat anda! satu perjalanan dan pengalaman yang sangat menarik, sangat memberi makna. Pengalaman-pengalaman itu sememangnya mengajar dan mencorakkan kehidupan =)

Selamat menjadi guru!

Selamat menjadi arkitek manusia! =)