PBS kali ini ialah PBS yang ke-empat, yang terakhir dan tersingkat buat kami.
Sekolah Kebangsaan Paya Mas, Tangkak. Sekolahnya kecil, malah pernah dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM). Letaknya di tepi jalan utama menghala ke Segamat, dikelilingi kawasan perkampungan. Pemandangannya indah, menghadap ke Gunung Ledang. Pagi-pagi di sini memang nyaman, kecuali jalan raya di hadapannya yang sentiasa sibuk pada waktu pagi.
|
Pagi di sekolah. Di depan sana adalah Gunung Ledang. |
Perancangan asal, teringin untuk menjalani PBS di negeri sebelah utara. Tapi disebabkan beberapa perkara, tak dapat saya laksanakan.
Inferens awal terbukti. PBS kali ini dijalani berseorangan tanpa rakan-rakan IPG ini mahupun dari IP lain. Tapi itu bukan bermakna PBS kali ini dilalui dengan bosan. Cikgu-cikgu di sekolah ini sangat peramah dan baik hati. Kerap kali juga cikgu-cikgu datang dan berbual dengan saya. Mungkin kerana itu saya tak terasa kebosanan di sini walaupun bilangan guru-guru cuma lebih kurang 17 orang sahaja. Awalnya terasa kekok, tapi lama kelamaan dapat juga biasakan diri. Apa pun, PBS kali ni banyak mengajar untuk lebih berdikari membawa diri dan tak terlalu bergantung kepada orang lain.
Buat pertama kalinya di sini, saya dapat melihat sendiri bagaimana guru-guru melaksanakan tugas yang agak berlainan. Bagaimana guru lelaki sangat diharapkan di sini dengan bilangannya yang cuma beberapa orang. Cikgu itulah yang masuk ke kelas mengajar Bahasa dan sebagainya. Cikgu itulah yang melakukan kerja pertukangan. Cikgu itulah yang menjadi ustaz, membaca doa, memimpin majlis dan lain-lain lagi. Baru sedar betapa bidang tugas guru itu sangat besar. Baru sedar betapa bakal-bakal guru ini perlu melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu untuk digunakan di sekolah nanti, bukan sekadar belajar mengikut bidang opsyen masing-masing. Bukan sekadar RBT belajar bertukang, Sains belajar sains, Matematik belajar mengira dan lain-lain. Banyak lagi ilmu yang perlu dituntut untuk menjadi cikgu yang baik dan berguna.
Buat pertama kali juga, saya dapat berinteraksi dengan pelajar daripada pelbagai latar belakang dalam satu kelas yang sama. Jika sebelum ini, untuk PBS1, 2 dan 3, rata-rata pelajar datang daripada kawasan perumahan di sekitar metropolitan Tangkak ini (cewah..). Tapi pada kali ini, saya dapat berjumpa dengan pelajar daripada serata pelusuk Tangkak. Daripada kampung seperti Kampung Payamas dan Kampung Payamas Dalam, daripada kawasan perumahan seperti Taman Payamas, sehinggalah ke kawasan bandar seperti Bandar Baru Tangkak. Paling menarik, kali ini saya berpeluang bersama murid-murid dari Perkampungan Orang Asli Air Tawas, Gunung Ledang yang bilangannya cuma beberapa orang.
Hadir ke sekolah pada hari Isnin, 13 Ogos 2012. Orang pertama yang saya tegur di sekolah ialah pekerja pembersihan (namanya tak ingat). Sempat kami berbual-bual sekejap sebelum perhimpunan bermula. Sekolah ini agak kecil, cuma terdapat 3 blok sahaja. Satu blok 4 tingkat, satu blok kayu 1 tingkat dan satu blok makmal komputer serta sebuah padang. Sesuatu yang menarik ialah ibu bapa dibenarkan membawa kenderaan masuk ke kawasan sekolah dan menurunkan anak-anak di hadapan bangunan sekolah sebelum keluar melalui pintu satu lagi. Oleh itu, tidak berlaku kesesakan di jalan utama berhadapan sekolah ini. Sesuatu yang jarang ditemui di sekolah lain kerana kebiasaannya pihak sekolah tidak akan membenarkan kenderaan masuk.
|
Kawasan sekolah. |
Perhimpunan pagi agak selesa di dalam dewan terbuka yang comel di bawah blok. Pertama kali dapat mengikuti perhimpunan yang selesa sebegini di sekolah, terlindung daripada matahari dan di bawah hembusan angin kipas. Pelajar sekolah ini tak seberapa ramai, cuma kira-kira 190 orang sahaja. Kelasnya juga tak banyak, cuma satu kelas bagi setiap darjah. Oleh itu namanya juga sangat senang diingat. Tiada sambungan hujung pada setiap kelas seperti tahun _Arif, tahun _Bijak.. cuma sebut sahaja tahun berapa sebab kelasnya cuma satu.
|
Perhimpunan pagi. |
Bila tamat PBS baru saya perasan saya tak pernah jejak kaki pun dalam bilik Guru Besar mahupun bilik Penolong Kanan, kecuali bilik PK Kurikulum. Itu pun sebab nak meminjam buku rekod dan latar belakang sekolah. Kebiasaannya, pada PBS sebelum ini, rutin biasa pagi pertama ialah masuk bilik guru besar untuk briefing, dan rutin hari terakhir ialah menghadap guru besar untuk mengisi borang sahsiah dan kehadiran. Tapi kali ini tidak. Selesai perhimpunan, saya sekadar berbual-bual berkenalan sekejap dengan guru besar dan terus bawa diri. Hari terakhir pula saya yang malu sebab guru besar yang datang untuk tandatangan borang saya. Sepatutnya saya yang kena cari dia. Haishhh.. tak senonoh aku ni.. tapi sesuatu yang menarik ialah guru besar ini selalu turun dan bercampur dengan cikgu-cikgu. Malah semasa cikgu-cikgu mendirikan pintu gerbang kayu pun beliau datang membantu.
|
Mendirikan pintu gerbang. |
Satu perkara yang saya kagum dengan cikgu-cikgu dan kakitangan sekolah ini ialah banyak kelengkapan yang disediakan sendiri oleh mereka. Antaranya rak piala, rostrum dan pintu gerbang. Peralatan pertukangan sangat lengkap, daripada gerudi tangan, jigsaw sehinggalah hole driller, semuanya ada.
|
Peralatan pertukangan. |
|
Cikgu Roslan dan hasil tangannya. |
Pendek kata, 3 hari di sini tak mencukupi. Bak kata guru besar, "sepatutnya awak kena duduk sini 2 minggu atau lebih". Betul. Sekurang-kurangnya perlukan 5 hari di sini seperti PBS kami yang lalu.
Sepanjang 3 hari di sini, sempat juga saya merasa bagaimana nak handle kelas murid-murid serendah Tahun 1 dan Tahun 2. Empat kali menjalani PBS, ini kali pertama saya menjaga kelas Tahun 1 dan 2 bersendirian. Agak sukar juga untuk mengawal keadaan kelas. Terjumpa juga murid yang jenis tak tahu duduk diam, asyik berjalan mengganggu rakan-rakannya yang lain. Tiba-tiba terbayang diri sendiri yang juga lebih kurang seperti itu pada zaman persekolahan dahulu. =')
|
Mereka terlalu teruja untuk menyanyi beramai-ramai. |
|
Bersama murid-murid Tahun 2. |
|
Kelas Tahun 1. |
Hari terakhir di sini diadakan majlis Khatam Al-Quran peringkat sekolah. Selain itu ada juga pemberian sumbangan Hari Raya Aidilfitri untuk anak yatim dan murid kurang berkemampuan.
|
Paparan LCD. |
|
Barang-barang sumbangan. |
|
Bacaan Al-Quran oleh murid-murid. |
Bukan itu saja. Semua murid juga mendapat duit raya daripada pihak sekolah. Agak banyak juga jumlahnya, kira-kira RM5 seorang. Seronok melihat mereka gembira mendapat duit raya tersebut.
|
Murid-murid menerima duit raya. |
Tiba-tiba dapat goodie bag ini. Terima kasih cikgu!
=)
Sebelum berpisah, sempat juga saya sampaikan hadiah buat murid-murid Tahun 2 yang telah sudi bermain kuiz bersama saya. Ada juga yang menangis bila dapat tahu itu hari terakhir saya di situ.
|
Hadiah untuk mereka. =) |
|
Dah siap balut. |
Terpahat satu lagi kenangan indah dalam hidup. Kenangan dan ilmu yang didapati di sini takkan dilupakan sampai bila-bila.
*Oleh kerana terlalu singkat, bilangan hari yang tak cukup perlu diganti. InsyaAllah, SK Parit Bilal, Batu Pahat. 8 September 2012. =)
1 comment:
Salam. Saya suka baca kisah ini sebab anak saya pelajar di sini. Semoga menjadi cikgu yang dedikasi, cemerlang dunia dan akhirat, amin.
Post a Comment