Penulis tidak bertanggungjawab atas segala kesulitan yang timbul akibat daripada penggunaan sebarang bahan dalam blog ini. Sebarang maklumat yang tercatat dalam blog ini adalah hampir tepat pada tarikh penulisan tetapi mungkin berubah mengikut keadaan semasa.

Sekiranya ada sebarang pertanyaan yang berkaitan, sila tuliskan di ruangan komen atau e-melkan kepada penulis. Komen anonymous dibenarkan, tetapi anda digalakkan untuk meninggalkan komen dengan mendaftar masuk akaun Google atau Blogger masing-masing.

Sebarang komen yang tidak berpatutan atau difikirkan tidak sesuai akan dibuang selaras dengan Akta Keterangan (pindaan 2012) di mana pemilik blog bertanggungjawab terhadap segala komen yang disiarkan.

Pemilik rumah penginapan atau homestay juga dibenarkan tulis iklan di ruangan komen. Terima kasih. =)

Friday, April 29, 2011

Kilat - Fakta dan Langkah Keselamatan =)

Kilat - satu fenomena yang tak asing lagi bagi negara kita. Tak seperti fenomena puting beliung yang jarang sekali berlaku di negara ini, kilat terjadi hampir setiap bulan di Malaysia ni sampaikan kita dah tak heran kalau ia berlaku kan.
hatira.fotopages.com
Walaupun ia perkara biasa, tapi setiap tahun, ada je kemalangan berkaitan kilat dilaporkan. Kiranya macam kemalangan jalan raya la.. tiap-tiap hari ada orang mati tapi orang lain tetap bawak kereta macam pelesit kan.

Sejak kecik2 lagi, saya memang takut kalau kilat berlaku. Setiap kali kilat, saya takkan keluar dari rumah. Hatta nak berdiri tepi rumah pun saya takut. Lagi satu, saya tak berani duduk rumah sorang2 masa kilat sabung menyabung. Entah kenapa la kan..

Apa tu kilat?

Kilat adalah satu aliran dengan muatan cas negatif dalam laluan yang berbentuk zigzag di segmen ke bawah dalam pola bercabang. Laluan bercas ni tak dapat dilihat oleh mata manusia dan bergerak ke tanah dengan cepat. Semasa mendekati tanah, cas negatif ini akan tertarik kepada satu saluran bercas positif yang memanjang ke atas - biasanya merupakan sesuatu objek yang tinggi seperti pokok, rumah atau tiang elektrik dan telefon. Apabila kedua-dua cas ni bersambung, satu arus elektrik yang sangat kuat akan mula mengalir dan menghasilkan satu pergerakan cahaya yang sangat terang yang membalik menuju ke awan dengan kelajuan 100,000 kilometer sejam. Laju kan?

Gambar daripada : kakachanterritory.blogspot.com
Secara purata, kilat membawa arus elektrik yang sangat kuat sehingga 40000 Ampere atau 40 kiloAmpere (kA).. dan kadang-kadang, kilat dalam ribut petir boleh mencapai sampai 120 kA. See?.. tinggi kan?.. arus kat plug rumah kita tu tak sampai pun 13A. Cuba bayangkan kalau kilat tu menyambar rumah.. ish.. Selain tu, kilat jugak mampu mencapai suhu sehingga 30,000°C dan mampu meningkatkan suhu persekitaran sehingga 10,000°C dalam sekelip mata. Haba yang tinggi ni menghasilkan gelombang kejutan yang menghasilkan bunyi guruh. Suhu ni cukup panas untuk meleburkan pasir silika, iaitu salah satu bahan untuk pembuatan kaca, di mana takat lebur silika ialah sekitar 1600°C dan takat didihnya ialah 2230°C.

Kilat sebenarnya berlaku serentak dengan guruh. Tapi disebabkan kelajuan cahaya yang jauh lebih pantas berbanding kelajuan bunyi, maka kita nampak kilat dahulu diikuti dengan bunyi guruh beberapa ketika kemudian.Kalau korang dengar bunyi guruh serentak dengan kilat tu maksudnya kilat tu tersangatlah dekat, mungkin kat sebelah korang je.


Nak tahu tak, sebenarnya kilat yang biasa kita nampak tu bergerak dari bawah ke atas tau. Tapi disebabkan proses pembentukan kilat tu terlampau laju, kita nampak macam berkelip je.

Gambar ni diambil pada urutan 0.32 saat (sumber Wikipedia)

Macam ni.. pancaran kilat biasa awan ke tanah merendahkan laluan cas negatif terhadap tanah dalam beberapa siri pancutan, yang ni kita tak nampak dengan mata kasar. Objek di tanah pada umumnya mempunyai cas positif. Cas yang berlawanan akan menarik dan alur yang menjalar ke atas dihantar keluar dari objek yang akan disambar.Bila kedua-dua pusat bertemu, pergerakan akan kembali ke langit yang menghasilkan pancaran kilat yang dapat dilihat. Tapi proses-proses ni sangat pantas sampaikan kita tak nampak pembentukan sebenar kilat tu.

Kilat boleh terjadi disebabkan pelbagai faktor.. tapi faktor yang biasa menyebabkan kilat ialah ribut petir dan awan tebal. Selain tu, awan debu gunung berapi pun boleh menyebabkan terjadinya kilat.

Kilat akibat debu gunung berapi
Gambar : wikipedia
Dulu saya selalu terfikir, kilat yang turun tu menyambar kat mana?.. tahu tak, kilat yang turun ke bumi tu akan menyambar tanah dan membakar kotoran dan tanah. Kilat yang menyambar ke tanah juga akan membentuk sejenis batu yang dikenali sebagai Fulgurite.

Fulgurite yang terhasil daripada kilat
Fulgurite ialah sejenis tiub atau batu kaca yang mempunyai rongga atau laluan (hollow) di dalamnya. Ia terbentuk di dalam pasir Quartza, silika atau tanah akibat daripada panahan kilat. Seperti yang kita tahu, takat lebur silika (Si) ialah sekitar 1600°C. Bila kilat menyambar ke tanah, ia akan terus bergerak sejauh yang boleh ke dalam bumi. Pasir silika di sepanjang laluan kilat ni akan melebur dengan serta merta dan membentuk Fulgurite. Fulgurite ni boleh mencapai diameter beberapa sentimeter dan mempunyai panjang sehingga beberapa meter. Bahagian luar fulgurite ni kasar disebabkan pasir-pasir sekitar yang tak lebur tu melekat. Fulgurite tak semestinya lurus. Ia biasanya berbentuk zigzag sepertimana laluan kilat tersebut.

Satu fulgurite lain. =)
Gambar : ahmadtaufiq.multiply.com


Apa terjadi kalau kena sambar kilat?

Ingat tak dulu, pernah berlaku kebakaran tangki minyak besar kat Pasir Gudang akibat daripada disambar kilat? Kilat boleh menyebabkan kebakaran kepada struktur yang disambarnya. Sebab tu penting bagi sesebuah bangunan untuk mempunyai sistem pembumi kilat yang baik.


Kepada manusia, kebiasaannya sambaran kilat akan menyebabkan kematian kepada orang tersebut. Tapi kepada pokok, apabila disambar kilat, air dalam batang pokok tersebut akan menjadi wap dengan serta merta akibat haba daripada kilat tu. Wap yang mengembang secara tiba-tiba ni akan menolak kulit kayu pokok menyebabkan batang pokok tu bersepai macam meriam buluh.. kalau pokok tu terselamat pun, biasanya akan terdapat kesan parut memanjang pada batang pokok tu.

Gambar : Wikipedia
*Tiba-tiba teringat pokok kat sekolah dulu yg tumbang lepas kena sambar kilat.

Sebagai sebuah negara yang menghadapi fenomena kilat dan guruh ni setiap tahun, penting bagi kita untuk mengamalkan langkah-langkah keselamatan semasa kilat. Bukan sikit ye kemalangan berkaitan kilat yang berlaku kat Malaysia ni. Kalau nak baca berita-berita mengenai kilat, boleh klik di sini.

Walaupun kilat berlaku setiap tahun di Malaysia, namun kesedaran mengenai keselamatan semasa kilat ni jarang sekali diambil perhatian. Mungkin sebab kilat ni bukan punca kematian nombor satu kat Malaysia, jadi orang fikir ia sebagai kes terpencil. Sangat penting untuk kita mengambil serius mengenai isu keselamatan ketika kilat.

Untuk pengetahuan, kilat boleh menyambar sehingga 10 kilometer daripada kawasan berlaku ribut petir. Sebab tu kalau kita nak keluar rumah, kita kena selalu berhati-hati walaupun kilat tu nampak mcm jauh je. Jangan la kita tengok kilat tu macam jauh, kita buat tak kisah je. Oleh itu, penting bagi kita untuk tahu jarak ribut petir daripada tempat kita berada. Caranya ialah dengan mengira beza antara masa kilat kelihatan dan masa ketika guruh kedengaran, dan darabkan dengan kelajuan bunyi iaitu sekitar 343 meter sesaat (mcm yg belajar dalam subjek Fizik dulu).

Contoh: 
Guruh kedengaran 15 saat selepas kilat. 15 X 343 = 5145 meter.
Maksudnya kilat tu sekitar 5.1 kilometer je dari tempat tersebut.

Atau kalau tak reti kira pun, sebenarnya adalah lebih baik kita hindarkan aktiviti luar rumah semasa guruh masih bergema kat langit.

Waktu yang benar-benar selamat daripada petir ialah apabila tiada kilat berlaku selepas 30 minit.

LANGKAH KESELAMATAN

Di dalam bangunan:
1. Matikan semua peralatan elektrik dan tanggalkan plug daripada soket kerana kilat boleh merosakkan peralatan elektrik tersebut.
2. Jangan gunakan telefon rumah atau pejabat. Kalau nak hubungi sesiapa, gunakan telefon bimbit. itu pun kalau perlu je.
3. Jangan duduk berhampiran pintu atau tingkap yang menghala ke luar rumah.
4. Elakkan berada di bilik air atau memegang paip yang diperbuat daripada besi.

Di luar bangunan:
1. Masuk ke dalam bangunan besar seperti kedai, rumah, pejabat atau sebarang bangunan yang mempunyai besi pengalir kilat.
2. JANGAN berlindung di pondok telefon, bangsal, pondok bas, khemah atau struktur-struktur kecil yang lain.
3. JANGAN berlindung di bawah pokok.
4. Kalau tak ada bangunan yang berdekatan, kenderaan seperti kereta, van dan lori juga merupakan tempat perlindungan yang baik. Masuk ke dalam kenderaan dan tutup semua tingkap dan pintu dengan rapat. Duduk di tengah-tengah kereta. JANGAN sentuh bahagian kereta yang dibuat daripada besi.
5. Kalau tak ada jugak, duduk lah kat kawasan rendah yang tak ada benda logam seperti kat dalam parit, longkang, dan sebagainya. Kalau boleh, jangan sentuh air dalam longkang tu.
6. Kalau berada dalam kumpulan, pastikan jarak antara seorang dengan yang lain antara 15 kaki ke 20 kaki.
7. JANGAN berada di kawasan lapang seperti padang golf, padang bola, dan lain-lain.
8. JANGAN berada di kawasan air seperti kolam, tasik, taman tema air, sungai, paya dan sebagainya.
9. JANGAN berada di kawasan tinggi seperti bukit, gunung dan sebagainya kerana kawasan-kawasan ni berisiko tinggi untuk disambar petir.
10. JANGAN berada berhampiran objek logam seperti pagar, tiang elektrik dan lain-lain.
11. Kalau tak sempat lari ke tempat selamat, rendahkan diri ke tanah - seelok-eloknya meniarap atau paling kurang mencangkung. Rapatkan kaki dan letak tangan pada telinga.
12. Kalau berada dalam bot di tengah kawasan berair dan tak sempat ke darat, rendahkan diri anda di tengah bot. JANGAN sentuh air.
13. Semasa berada di luar rumah ketika kilat, juga dinasihatkan supaya tidak menggunakan telefon bimbit. Sebaiknya matikan telefon bimbit anda tu. 

Gambar kilat ni saya snap sendiri kat institut. hee.. =)

Rujukan:

2 comments:

Unknown said...

tq....byk info

Anonymous said...

Salam.. Nak Tanya.. Boleh kah kilat menembusi rumah.. Macam menembusi bumbung ke? Lalu terkena penghuni rumah