Penulis tidak bertanggungjawab atas segala kesulitan yang timbul akibat daripada penggunaan sebarang bahan dalam blog ini. Sebarang maklumat yang tercatat dalam blog ini adalah hampir tepat pada tarikh penulisan tetapi mungkin berubah mengikut keadaan semasa.

Sekiranya ada sebarang pertanyaan yang berkaitan, sila tuliskan di ruangan komen atau e-melkan kepada penulis. Komen anonymous dibenarkan, tetapi anda digalakkan untuk meninggalkan komen dengan mendaftar masuk akaun Google atau Blogger masing-masing.

Sebarang komen yang tidak berpatutan atau difikirkan tidak sesuai akan dibuang selaras dengan Akta Keterangan (pindaan 2012) di mana pemilik blog bertanggungjawab terhadap segala komen yang disiarkan.

Pemilik rumah penginapan atau homestay juga dibenarkan tulis iklan di ruangan komen. Terima kasih. =)

Saturday, March 31, 2012

Arau, Perlis | Bahagian 1



Dah dua minggu berlalu. Tapi entah kenapa, fikiran selalu melayang ke sana. Hati saya dah tertinggal di Arau - mungkin.. sehinggakan terasa memanggil-manggil untuk tulis entri yang panjang berjela ini walaupun dah agak lama berlalu. 

Arau, Perlis. Perjalanan ke sana baru-baru ini boleh dikatakan sebagai hadiah hari jadi bagi saya dan Hazwan yang berada di sana. Jauh. Dan kerana jauh itulah ia jadi sesuatu yang istimewa.

Arau. Pertama kali saya tiba di bandar kecil ini kira-kira 2 tahun lalu kerana menghantar dia mendaftar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis yang terletak di sini. Saya pernah ke Perlis, tapi tak pernah sampai ke bandar ni. Itulah pertama dan itulah sekali.
Betul. Sekali pandang, memang tak ada apa-apa yang istimewa dengan Arau ni. Tiada wayang, tiada shopping mall (selain C-Mart). Mungkin bosan bagi mereka yang kaki wayang dan kaki belanja. Bandarnya kecil, jauh sekali beza dengan bandar Muar mahupun Batu Pahat, apatah lagi Johor Bahru. Arau ni cuma sekadar sebuah bandar diraja dengan istana di tepi jalan utama. Tapi tidak bagi saya. Bandar ni sangat menarik bagi saya. Suasananya tenang. Tak sibuk seperti bandar-bandar di selatan. Tak ada kesesakan jalan raya. Tak ada bunyi-bunyi kilang yang tak menyenangkan. Dan mungkin kerana ia dikelilingi panorama yang menarik menyebabkan saya jatuh hati dengan negeri utara ini.

Berikut ialah catatan sepanjang kunjungan selama 3 hari 2 malam ke sana. Sudi-sudilah membaca entri yang tak seberapa ni.

Rabu - 14 Mac 2012.

Perjalanan bermula dengan bas jam 3.30 petang dari Tangkak ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Bandar Tasik Selatan. Jalan agak sibuk dan banyak kenderaan di lebuhraya. Alhamdulillah tiket kereta api ke Arau dah dibeli awal-awal lagi. Perjalanan KL Sentral ke Arau saya dapat menaiki koc katil manakala perjalanan balik Arau ke KL Sentral cuma dapat beli tiket koc tempat duduk sebab koc katil dah penuh.

Tiba di TBS kira-kira jam 5.36 petang. Tren dijangka bertolak jam 9.20 malam. Masih ada kira-kira 4 jam. Jadi saya merancang jumpa kawan kat Gombak.
Jam 5.58 petang, saya menaiki tren komuter dari BTS menuju ke KL Sentral. Hari ini adalah hari bekerja, jadi tren menghala ke pusat bandar agak lengang sebab orang dah balik dari kerja.
Tren komuter berhenti agak lama berhampiran Mid Valley menyebabkan lewat tiba di KL Sentral. Sampai je kat KL Sentral, saya terus tukar menaiki KJ Line (PUTRA-LRT).

Perjalanan dengan LRT dari KL Sentral ke Terminal Gombak mengambil masa kira-kira setengah jam. Oleh kerana hari dah petang, tren menghala ke Gombak ni penuh dengan penumpang yang balik dari kerja. Lenguh oo berdiri setengah jam.
Stesen LRT Gombak.
Jam 6.50 petang, saya sampai di Terminal Gombak. Kawan merangkap jiran saya tu dah tunggu di situ.

Dari Terminal Gombak, beliau membawa saya berjalan-jalan sekitar situ dan singgah di cawangan Sate Kajang Haji Samuri kat Taman Melati.
Sate Kajang Haji Samuri ni sangat terkenal di Lembah Klang mahupun di seluruh Malaysia. Siapa-siapa yang pergi ke Lembah Klang, silalah berkunjung ke restoran sate kajang ni. Selain Taman Melati ni, dia ada cawangan lain di bandar Kajang, Hentian Rehat dan Rawat (RNR) Dengkil arah utara di lebuhraya ELITE, dan satu lagi yang paling kerap saya pergi ialah di Bandar Baru Bangi.

Dulu masa kecik2, kalau pergi Bangi atau KL, mesti singgah sate kajang kat Bandar Baru Bangi ni. Masa tu harga sebatang sate ayam dan lembu cuma 50 sen je. Baru-baru ni pergi kat Taman Melati, harganya dah jadi 70 sen sebatang. Tak tahulah sama ada harga kat sini ditetapkan macam tu atau memang dah naik.
Hensem tak? Tolong jangan tergoda. Haha.. =p
Terima kasih kepada Hanif a.k.a Carrick yang sudi membelanja makan sate. huhu.. =)

Terlampau leka makan sate yang lazat sampaikan tak sedar masa berlalu dengan cepat. Jam 8 malam, beliau membawa saya ke tempat persemayaman beliau di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak. Teruja tengok bangunan kat situ. Besar betul. Sempat la jugak solat Maghrib + Isyak sekejap kat masjid UIAM tu.

Masjid UIAM.
Bergambar kenangan.
Jam 8.45 malam, saya dah naik LRT kembali ke KL Sentral. Hati berdebar-debar, risau kalau tak sempat tiba di KL Sentral sebelum kereta api bertolak. Setengah jam perjalanan, jam 9.15 malam saya tiba di KL Sentral. Kebetulan ada seorang lagi yang sama dengan saya. Kami pun berlari-lari berdua macam orang masuk Explorace.. dari platform LRT, turun ke bawah dan naik ke gate pelepasan KTM Antarabandar di aras atas. Alhamdulillah, sempat masuk ke platform dan menaiki tren.
Platform 1, KL Sentral
Perlis.. here I come!

Tren Ekspres Senandung Langkawi
KL Sentral - Arau
Kelas Superior Malam ADNS (Katil kelas dua) - Koc L1 Katil 5
Tambang: RM35.00 (tambang katil atas dengan diskaun kad pelajar).

Tren bertolak dari KL Sentral pada jam 9.35 malam, lewat kira-kira 15 minit. Perjalanan ini sekali lagi melakar sejarah dalam hidup saya. Pengalaman selama 5 tahun menaiki kereta api, ini pertama kali saya naik tren antarabandar ke arah utara. Inilah pertama kali saya naik tren antarabandar di KL Sentral. Inilah juga pertama kali saya beli tiket untuk gerabak katil.
Gerabak yang saya naiki, L1.
Saya dapat tiket di gerabak L1.. paling depan sekali,, betul-betul di belakang lokomotif atau kepala kereta api. Kereta api ni menggunakan dua lokomotif untuk menarik 12 gerabaknya.
Dua encik lokomotif yang gagah untuk menarik tren.
Sepanjang perjalanannya, kereta api ni singgah di beberapa stesen utama. Terlalu banyak untuk disenaraikan di sini. Oleh kerana tren ni hanya perjalanan malam, jadi tak dapatlah nak rakamkan gambar pemandangan di sepanjang laluan kereta api. Saya pun banyak menghabiskan masa berbaring di katil.
Singgah di stesen Kuala Lumpur Lama (KLO).
Katil tingkat atas ni tingkapnya kecil. Tapi tetap seronok sebab bila baring, tingkap tu separas dengan kepala. Dapatlah berbaring sambil tengok pemandangan luar. Dan ada juga lampu tidur. Lampu ni boleh padamkan kalau tak mahu guna.
Katil tingkat atas. Siap ada gebar dan bantal.
Bila bosan, saya pun berjalan-jalan sepanjang kereta api. Dari koc katil kelas dua, saya melintas antara gerabak. Lalu koc kabin, lalu koc kantin, lalu koc ekonomi, koc tempat duduk kelas dua, dan sampailah ke gerabak katil di belakang sekali. Seterusnya ada gerabak generator (PGC) tapi yang tu penumpang tak boleh masuk.

Sepertimana kereta api yang saya naik ke Kelantan (rujuk entri ini), kereta api ini juga ada surau di gerabak ekonomi. Siap ada tempat ambil wudhuk lagi. Kiblatnya ditandakan menegak sahaja. Anda pasti ada belajar cara-cara solat dalam kenderaan kan? Di sinilah kita nak apply-kan pengetahuan tu.
Ruang surau.
Bahagian dalam.
Tempat wudhuk.

Khamis - 15 Mac 2012

Selepas 7 jam perjalanan, tren ini tiba di Bukit Mertajam kira-kira jam 4.40 pagi.
Untuk bergerak dari utara ke selatan atau sebaliknya, kereta api ini perlu menukar arah pergerakannya di sini.. di stesen ini. Tak faham? Maksudnya tren tu kena bergerak secara mengundur dan masuk laluan ke arah yang diingininya. Untuk pengetahuan, kereta api boleh bergerak 2 arah tanpa perlu berpusing balik seperti kereta. =)
Kedudukan Bukit Mertajam.
Kepala kereta api pun dicabut (uncoupled) dari gerabak L1. Sebuah lokomotif gantian yang dah menunggu pun dipasang ke gerabak belakang tadi, lalu gerabak belakang tu jadi depan. Giliran gerabak yang saya naik pulak untuk jadi paling belakang.
Tren baru tiba.
Pekerja sedang menanggalkan sambungan tren.
Dah tanggal.
Dah jadi paling belakang.
Setengah jam tren berhenti. Segala kelengkapan tren diperiksa. Kira-kira jam 5.20 pagi, tren mula bertolak menuju ke utara.

Saya terjaga kira-kira jam 7.10 pagi. Hari dah terang. Tren sedang bergerak laju menyusur landasan bersebelahan Lebuhraya Utara-Selatan. Kelihatan seolah-olah tren sedang berlumba dengan kenderaan yang sibuk di lebuhraya.
Menarik. Malam tadinya saya masih berada di kota Kuala Lumpur yang sibuk dan penuh dengan pembangunan. Bila bangun dari tidur, pemandangan sudah berubah sama sekali. Tak ada lagi bangunan-bangunan tinggi. Sekitar landasan sudah nampak kawasan sawah padi yang terbentang luas. Tenang dan mendamaikan. Pemandangan yang takkan saya lupakan sampai bila-bila.
Jam 7.20 pagi, tren berhenti di Stesen Alor Setar, Kedah. Ya.. stesen lama Alor Setar inilah yang dapat dilihat dalam filem Ombak Rindu (2011). Ramai penumpang turun di sini.
Stesen Alor Setar

Beberapa kali tren berhenti sementara menanti lampu isyarat bertukar hijau. Kereta api pun ada lampu isyarat jugak tau.
Landasan ke utara ni banyak digunakan oleh kereta api kargo. Entah berapa kali kami berselisih dengan kereta api kargo yang berlainan, malah ada sekali kami berselisih dengan dua tren kargo serentak. Kalau di selatan, jarang sekali kita jumpa tren kargo.

Perjalanan saya selama 11 jam ini berakhir apabila tren tiba di stesen Arau pada jam 8.25 pagi, lewat setengah jam daripada jadual. Mungkin kerana projek pembinaan landasan berkembar elektrik Ipoh - Padang Besar yang sedang rancak dijalankan menyebabkan tren tak dapat bergerak laju. Tren berhenti seketika dan kemudian meneruskan perjalanan ke Padang Besar, dan seterusnya ke Hadyai, Thailand.
Stesen sementara Arau.
Macam tak percaya. Baru semalam saya di KL. Pagi ini saya dah ada di satu tempat yang suasananya berbeza. Langsung tak terasa kepenatan perjalanan jauh.
Terima kasih encik kereta api kerana membawa saya ke sini. =)
Stesen Arau ketika ini bukanlah stesen Arau yang saya kenali pada pertama kali saya ke sini 2 tahun lalu. Pada ketika saya sampai ni, stesen lama dah diruntuhkan untuk projek landasan berkembar elektrik, dan kami para penumpang kereta api menggunakan stesen sementara yang dibina 200 meter dari tapak stesen asal.

Tiba di stesen, adik saya dah menunggu kat situ. Bertemulah dua kembar yang terpisah jauh. Silap saya mesej dia awal-awal sebab ingatkan dah nak sampai. Tup-tup setengah jam lagi perjalanan. Kesian dia tunggu lama kat situ.

Untuk pengetahuan, bandar Arau ni adalah bandar diraja bagi negeri Perlis. Kalau anda berkunjung ke sini, anda akan dapat melihat Istana Arau di tepi jalan utama ke Kangar.
Istana Arau
Dari stesen, adik saya bawak saya balik ke rumah sewa dia di Taman Sri Wang, Arau Perlis. Tak jauh pun, cuma lebih kurang 5 kilometer dari stesen. Rumah ni disewa bertujuh dengan kawan-kawan UiTM. Di sinilah saya tumpang bermalam selama 2 malam ni.
Taman Sri Wang Fasa 2, Arau, Perlis.
Saat saya sampai, penghuni lain ada yang keluar, dan ada yang belum bangun. Mungkin balas dendam tidur sebab hari sebelum itu diorang ada paper exam. Sempat saya mandi sekejap dan rehat-rehat.
Rumah inilah yang sudi menumpangkan saya selama
3 hari 2 malam di Perlis.
Seketika kemudian, diorang pun bangun. Reaksi diorang? Macam biasalah. Terkejut tu mesti ada. Tiba-tiba nampak member dia ada dua. =P

Seronok duduk di sini. Kawan-kawan di sini mudah mesra dan senang bergaul. Baru saja berkenalan, tapi sudah dapat berbual-bual macam dah kenal lama, dan boleh bergurau-gurau lagi. Cuma saya je yang ada masalah nak mengingat nama masing-masing.

Satu lagi yang saya kagum. Walaupun jarak antara rumah sewa masing-masing agak jauh, tapi hubungan antara mereka tetap rapat.

Jam 10 pagi, kami semua (termasuk kawan-kawan serumah tu) pergi bersarapan dekat depan RPA Arau. Kat Arau ni, diorang ada gelaran bagi setiap gerai makan yang ada. Ada anjung, pangkin, apa-apa lagi ntah. Unik betul.
Amir dan Firman. (maaf kalau tersalah eja). =)
Kawasan ni terletak dekat sangat dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis. Oleh itu, mana-mana pun kita pergi, mesti akan jumpa student UiTM ni.

Jam 11 pagi, kami ke dalam UiTM sebab mereka ada hal nak diuruskan.

Besar betul kawasan universiti ni. Kalau nak bandingkan dengan tempat saya belajar sekarang, universiti ni lebih kurang 6 ke 7 kali ganda besar kut. Dua tahun lepas, kalau saya tak dapat tawaran masuk ke IPG, di sinilah tempat saya belajar. Saya pernah dapat tawaran Kimia Industri di sini. Tapi saya tak pergi sebab dah ada panggilan ke IPG.
Tempat ni dipanggil Mushroom atau bahasa Melayunya "cendawan" (orang utara panggil "kulat"). Tak diketahui apa sebabnya dipanggil mushroom. Di sini tempat pelajar berkumpul untuk pelbagai aktiviti. Lebih kurang macam Balai Siswa kat IP saya tu. Bezanya kat Mushroom ni ada macam-macam kemudahan seperti kedai fotostat, kedai buku, Bank Islam, dan lain-lain.
Bas UiTM.
Jam 12 tengah hari, kami kembali ke rumah sewa. Kat utara ni, iklimnya agak panas berbanding di selatan. Terasa bahangnya walaupun duduk di dalam rumah dengan kipas yang laju. Disebabkan kepenatan, saya tidur sekejap.

Terjaga lebih kurang jam 3.30 petang. Jam 4 petang, kami bertolak ke bandar Kangar, Perlis. Kangar terletak kira-kira 9 kilometer dari Arau.
Arah ke Kangar.

Simpang ke IPG Perlis.
Kalau kita lalu jalan antara Kangar ke Arau, ada beberapa pintu gerbang di sepanjang jalan tu. Mungkin orang Perlis ni suka dengan pintu gerbang kut.
Di pertengahan jalan ada satu pintu gerbang yang ada termometer. Suhu yang dicatatkan ialah 34.1 darjah celcius. Panas tu.
31.4 darjah celcius. Panas oo.
15 minit perjalanan, kami tiba di Kangar.
Selamat Datang ke Kangar. =)
Inilah bandar Kangar, ibu negeri bagi negeri Perlis Indera Kayangan.
Gerbang lagi.
Kangar.
Tujuan pertama ialah stesen bas Kangar sebab ada kawan nak beli tiket bas.
Nama bukit kat belakang tu Bukit Lagi. Betul-betul
kat belakang bangunan tu.
Stesen Bas Kangar.
Bandar Kangar ni tak sebesar Johor Bahru atau Melaka di selatan. Bandarnya lebih kurang macam Kluang atau Muar. Tapi kat sini pemandangannya menarik sikit sebab dikelilingi sawah padi. Kadang-kadang sebelah taman perumahan pun ada sawah padi.

Cuaca agak panas. Dari bandar Kangar, kami bergerak ke arah utara, ke Bukit Ayer kira-kira 13 kilometer dari Kangar.
Dah dekat.
Dalam perjalanan, kami melalui ladang mangga Harumanis yang terkenal di Malaysia. Dari sinilah datangnya mangga Harumanis yang kita makan tu.
Ladang mempelam Harumanis.
Replika mangga harumanis.
Pokok dah tebang untuk tanam semula.
Note that the name of the place is Batu Pahat. See? Bukan Johor je ada Batu Pahat tau. Perlis pun ada Batu Pahat jugak. 

Lepas ni tak jadi lah nak ayat orang Batu Pahat Johor. Nak cari orang Batu Pahat Perlis pulak. Dapat makan harumanis selalu. =p

Selain tu, Taman Anggur Perlis turut terletak di tepi jalan ke Bukit Ayer ni. Pokok-pokok anggur ditanam di dalam rumah pelindung untuk mengelakkan serangan serangga perosak.
Rumah pelindung untuk anggur.
Pintu masuk ke Taman Anggur Perlis.
Perjalanan mengambil masa kira-kira 15 minit sebelum kami tiba di Bukit Ayer.
Bukit Ayer ni ialah satu tempat yang menarik untuk pelbagai aktiviti seperti bermandi-manda, berkelah dan beriadah. Lebih kurang macam Gunung Ledang Resort kat Tangkak nun. Cuma Bukit Ayer ni masuknya percuma.

Air terjun Bukit Ayer ni unik. Sekali pandang nampak seperti air terjun buatan. Cuba tengok gambar ini:
Nampak macam air terjun hiasan yang dibina dengan simen kan?
Air terjun ni mengalir dari celah-celah bukit batu kapur. Warnanya pun kehijauan macam warna kolam air panas. Air terjun ni mengalir ke dalam sebuah kolam mandi yang dibina di hutan lipur ini.
Kolam mandi besar.
Air krim bersalut kacang. Sedap. RM1 je.
Kenangan di Bukit Ayer.
Jam 5.40 petang, kami bergerak balik ke Arau semula tapi kali ini melalui laluan lain. Kami ikut jalan ke Mata Ayer.
Lalu kawasan letupan batu kuari.
Jalan di tengah sawah.
Lintasan kereta api.
Simpang ke Mata Ayaq. =)
Sebelah malamnya, kami makan beramai-ramai dekat RPA Arau.


Jam 11 malam, kami bergerak ke Kuala Perlis. Kuala Perlis terletak kira-kira 19 kilometer dari Arau.
Persimpangan Arau.
Perjalanan dari Arau ke Kuala Perlis mengambil masa kira-kira 20 minit melalui Lebuhraya Changlun - Kuala Perlis.
Lebuhraya Changlun - Kuala Perlis.
Kami tiba di Kuala Perlis kira-kira jam 11.21 malam.
Jalan ke Kuala Perlis ni lalu betul-betul di tepi pesisir pantai. Waktu malam macam ni, sepanjang jalan ke Kuala Perlis ni meriah dengan orang yang datang beriadah di sini. Berderet-deret kereta dan motosikal diletakkan di sepanjang bahu jalan.
Deretan gerai di tepi jalan.
Kalau duduk-duduk kat tepi pantai Kuala Perlis ni, kata orang, tak sah kalau tak makan lokchin.

Macam mana ye nak terangkan lokchin ni. Kalau search kat encik Google, katanya yang macam hotdog besar. Tapi gerai-gerai kat sini bukan setakat jual hotdog besar. Ada macam-macam jenis yang dijual. Ada yang bulat-bulat, ada yang macam kalbat paip, ada yang nipis-nipis. Mungkin semua benda tu dilabelkan sebagai lokchin kut. Benda-benda ni semua dah siap cucuk pada lidi. Kita cuma datang, ambil pinggan, dan pilih yang mana kita nak. Harganya antara RM1 - RM1.50 sebatang.
Ni la lokchin. Maaf.. dah makan baru ingat nak ambil gambar.
Makan di tepian jalan. Ni Amin dan King.
Bila dah siap pilih, ingatkan boleh makan terus. Rupanya kena bagi pada kakak gerai tu dahulu, dia akan tolong bakarkan semua tu.
Posing sikit. Haha. =)
Di tepi jalan ni ada satu menara elektrik. Tinggi betul, tak macam menara elektrik yang biasa kita jumpa tu. Kata mereka, kalau angin kuat, boleh dengar bunyi kabel elektrik tu 'bersiul'. Tapi masa kami duduk ni, tak ada pun angin kuat. Tak dapatlah nak dengar bunyi tu.
Kami lepak situ tak lama. Sejam lebih je, dan kemudian bertolak balik ke Arau semula. Sempat jugak meronda pekan Kuala Perlis sekejap.
Gelap.. kena bantai pakai flash je.
Terminal Feri Kuala Perlis. Di sinilah kalau nak naik feri
ke Langkawi.

Tamat Bahagian 1. Bersambung dalam entri seterusnya: Arau - Bahagian 2.


16 comments:

Anonymous said...

camne dari stesen bas kangar nak ke arau?

Hazman Amini said...

Naik bas Mara Liner dari Kangar ke Arau/Kodiang/Jitra. Tambangnya tak pasti berapa ringgit sebab saya tak pernah naik. =)

Anonymous said...

Assalamualaikum..
Dari station ktmb arau nk ke uitm ade public transport tak selain dari teksi?
Terima kasih

Hazman Amini said...

@Anonymous 20Jul:
Tak pasti sebab saya pun bukan menetap di situ.. tapi sepanjang pengetahuan saya, memang tak ada. Pelajar UiTM tu sendiri pun memang biasanya naik teksi untuk ke pekan Arau. :)

Nur Irfan Juezrie said...

Salam Hazman..

tumpang tanya.. dari utara ke selatan (butterwort ke johor) memang takde train direct ek? kena stop kt KL sentral dulu n ambik tiket lain ke johor ke?


lagi 1, ada abang or adik tak study phd di USM.

tq..

Hazman Amini said...

@Nur Irfan Juezrie:

Wasalam.

Dari Butterworth ke Johor Bahru ada satu perkhidmatan tren terus iaitu Ekspres Rakyat. Tren ni cuma bertolak pada waktu siang dan tiba pada waktu malam bagi kedua-dua arah. Jadi tak ada koc katil untuk perkhidmatan ini. Perjalanan pun terhad antara Butterworth ke JB Sentral dan Woodlands je. Kalau nak ke utara lagi, perlu tukar tren lain.

Saya ada abang yang ambil PhD di USM. Tapi dah tamat pun. :)

Suri Inairus said...

Salam sejahtera,
saya sangat suka membaca entri saudara ni, sebab dapat mengimbau kenangan masa lalu semasa saya belajar di Matrikulasi Perlis. Sememangnya Bandar Arau unik dan tenang. Yang paling xdapat dilupakan, pemandangan sawah padi, bukit, dan padang meluas di kawasan utara semasa menaiki kereta api pagi..tenang dan mendamaikan..terima kasih sudi berkongsi pengalaman dan gambar..:)

Anonymous said...

salam. kalau dari airport alor setar ke stesen keretapi alor setar jauh ke tak ? i hope to travel by train this time. been bored with taxi. :)

Fara Ada said...

org perlis sj berkunjung ke blog ni :)
org perlis pun dok mencari alternatif transport nk balik kampung selain flight n kereta...huhuuhu..
tp kalau dah 11 jam hmm susah sikit lah sebab beranak kecil...anyway thanks ye for the info....

Anonymous said...

Kalau dari arau ke butterworth ? Selalu pukul berapa train ada utk perjalanan tersebut ?

kaka shida said...

boleh tak beli tiket secara langsung kat kaunter ???

Hazman Amini said...

@kaka shida:
boleh, tapi bergantung kepada kekosongan. tren ke utara ni selalu penuh sebab tripnya tak banyak.

Jue Zakaria said...

Kalau dari ktm padang besar ke kuala perlis jauh x?

Hazman Amini said...

kalau nak ke kuala perlis saya cadangkan turun di Arau. Sebab padang besar dah ke hujung sangat. Dari Arau boleh naik bas ke Kangar dan seterusnya ke Kuala Perlis. Atau boleh jugak naik teksi, tambang sekitar RM30 - RM40 camtu.

Atau kalau tujuannya nak ke Pulau Langkawi, ada juga kawan saya yang cadangkan turun di Alor Setar dan ambil bas ke Kuala Kedah. Mungkin sebab bandarnya lebih besar dan mungkin perkhidmatan basnya lebih kerap, wallahu'alam.

eidda said...

Salam dik, maknanya kalau nak ke Langkawi dr Kuala Perlis, lagi dekat turun di Arau atau di Padang besar?

Terima kasih

Hazman Amini said...

@Eidda :
Wasalam. Lebih mudah dan lebih dekat jika turun di Arau. :)