Praktikum 3. Praktikum paling panjang dan yang terakhir buat kami sepanjang pengajian kami di sini, dan tentunya praktikum yang paling bermakna.
Saya selesai menjalani praktikum terakhir ni pada April yang lalu. Tapi sengaja saya bawa penulisan ni ke bulan ni.
Praktikum terakhir ni berjalan selama 12 minggu, bermula dari Januari sehingga April. Sekolah pilihan kali ni ialah Sekolah Kebangsaan Ledang di Tangkak, Johor. Seterusnya, episod praktikum ni bersambung dengan sekuelnya iaitu internship selama 4 minggu antara Julai hingga Ogos baru-baru ni di sekolah yang sama.
|
Perhimpunan mingguan. |
Sebenarnya sebelum ini saya dah pernah ke sekolah ini semasa menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) yang kedua pada penggal kedua tahun 2011. Kalau anda ikuti blog ini sejak 2011, mungkin anda perasan entri yang pernah saya tulis dulu.
Sekolah Kebangsaan Ledang. Antara sekolah tertua di bandar Tangkak. Letaknya kira-kira 3 kilometer dari rumah saya. Jarak yang tak begitu jauh, tapi perlu melintasi bandar Tangkak yang agak sibuk pada waktu pagi dari hujung ke hujung. Guru besar sekolah ini ialah Pn Hjh Noraini Hayati binti Ahmad, merangkap jiran saya di rumah. Jumlah murid sekolah ni tak begitu ramai, lebih kurang 560 orang je pada saat kami tiba di sini. Setiap tahun ada purata sebanyak 3 kelas. Sekolah ni juga ada kelas Pendidikan Khas di mana adik saya adalah salah seorang murid di kelas Pendidikan Khas di sini. Bila fikir balik baru perasan, sekolah yang saya pergi untuk praktikum semua ada kelas Pendidikan Khas.
|
Jualan sempena Minggu Jalinan Kasih bersama kelas Pendidikan Khas. |
Untuk praktikum kali ni agak berbeza. Saya tak lagi berpraktikum bersama kawan-kawan praktikum yang sama dengan praktikum lalu. Tak ada lagi Hazirah dan Nadiah, kawan baik yang dulu selalu tolong masa susah atau masa serabut sebab pensyarah datang, yang selalu gelak sama-sama masa senang, yang setia praktikum sama-sama dari praktikum pertama di Parit Bilal sampailah ke praktikum kedua di Parit Raja. Masing-masing dah bawak diri ke tempat lain. Hazirah dah ke Kluang, tempat lamanya bersama kawan baiknya. Manakala Nadiah juga sama praktikum di Tangkak, cuma dia berpraktikum di sekolah lain bersama dengan kawan saya yang baik juga. Sorang lagi, Irwan dah bawak diri ke Segamat bersama kawan-kawan praktikum baru dia yang baik (haha). Oh, lupa.. saat entri ni ditulis, Nadiah dah tamatkan zaman bujang, dan ada kurang dua minggu lagi sebelum kami serbu rumah lelaki untuk majlis sebelah situ. Tahniah. Doakan kitorang pulak ye.
Praktikum kali ni saya bersama kawan-kawan yang semuanya baru, tak ada yang bawak dari sekolah praktikum lama. Jumlah kami semuanya lima orang. Hafiz dari opsyen TESL (bahasa Inggeris), Ismail, kawan sama opsyen yang sanggup jalan jauh hampir 70km sehari, serta Ainaa dan Shahira dari opsyen Prasekolah. Geng baru ni tak kurang jugak hebatnya, boleh membuatkan pancreas pecah sebab gelak tiap-tiap hari.
|
Bergambar bersama guru besar. Dari kiri: Hafiz, Ismail, Ainaa, Pn Hjh Noraini Hayati, Shahira, penulis |
Sekolah kali ni tak begitu besar. Cuma ada dua blok 4 tingkat yang bersambungan, dua blok 2 tingkat (termasuk Pendidikan Khas), satu blok setingkat dan kantin. Pergerakan di sekolah ni agak mudah sebab bloknya terletak tak begitu jauh antara satu sama lain. Sekolah ni juga ada sebuah dewan besar, menjadikan sekolah ni selalu terpilih untuk acara-acara berkaitan seperti MTQ daerah dan lain-lain. Tak seperti dua sekolah sebelum ni, sekolah kali ni cuma ada satu bilik guru sahaja.
|
Sesi 1 Murid 1 Sukan. |
Satu yang menarik perhatian saya ialah terdapatnya kawasan pertanian di depan bengkel Kemahiran Hidup sekolah ni. Dan tanaman di situ semuanya diusahakan oleh cikgu yang menjaga bengkel tu sendiri iaitu cikgu Alias.
|
Kawasan tanaman di depan bengkel. |
Paling unik ialah sebab padang sekolah ni luas, tapi dikongsi bersama Sekolah Menengah Kebangsaan Ledang (SMKL) yang terletak bersebelahan. Bila waktu Pendidikan Jasmani waktu pagi ataupun waktu satu murid satu sukan pada pagi Selasa, padang ni akan jadi meriah sebab sekolah menengah dan sekolah rendah akan sama-sama guna padang tu.
|
Padang sekolah. Yang baju merah belakang tu pelajar sekolah menengah. |
Waktu persekolahan di sini bermula pada jam 7.20 pagi dan tamat pada 1.10 tengah hari. Tapi kebiasaannya jam 7.10 pagi, murid-murid dah mula berbaris di dataran. Cikgu-cikgu di sini sangat ramah. Kalau jumpa mesti ada saja benda yang nak buat bahan berbual dan ketawa, atau paling kurang pun senyum. Rasanya tak jumpa cikgu-cikgu yang sombong di sini. Alhamdulillah, rasa seronok dapat menyertai sekolah yang mesra dan mudah bekerjasama. Tak kira dari peringkat atasan, pentadbiran, cikgu-cikgu malah pekerja-pekerja kat sini pun sangat baik. Kami pun tak terasa langsung bahawa kami datang sebagai guru praktikum sebab guru-guru di sini layan kami macam kawan-kawan dan anak-anak mereka sendiri seolah-olah kami dah kenal lama dengan mereka.
Di sekolah ni buat pertama kalinya saya guna sistem punch card waktu datang dan balik sekolah. Sebelum ni kat Parit Bilal dan Parit Raja, kedua-duanya tulis dalam buku je.
|
Punch card. |
Praktikum
Secara rasminya, kami menjalani praktikum terakhir ini bermula pada 26 Januari hingga 24 April 2014. Untuk praktikum kali ni, saya diberikan 10 masa mengajar iaitu 6 masa Kemahiran Hidup, dan 4 masa untuk Bahasa Melayu. Saya mengajar 2 kelas tahun 4 (4A dan 4B) dan kelas tahun 5A bagi Kemahiran hidup manakala bagi Bahasa Melayu, saya diberikan kelas 3A.
|
Mengajar KH tahun 5. |
Di sini, kami diberikan seorang guru pembimbing. Cikgu Hasidah namanya. Beliau jadi guru pembimbing saya bagi subjek Kemahiran Hidup dan Bahasa Melayu sekaligus. Banyak yang beliau tolong saya terutamanya dari segi pemantauan mengajar.
Murid-murid di sini agak berbeza dengan murid-murid di sekolah terdahulu. Kadang-kadang sampai timbul kes-kes yang mengerikan. Mungkin pengaruh media massa seperti internet dan sebagainya. Tapi apa pun, murid-murid di sini saya suka sebab agak sporting dan mudah menolong cikgu-cikgu yang meminta bantuan. Sampaikan ada yang kami tak mintak tolong pun tapi dia yang datang dan suruh kami mintak tolong dia.
|
Tunggu giliran nak tolong mengecat. |
Dan alhamdulillah juga saya dapat pensyarah pembimbing yang baik dan memahami. Puan Fuziah memantau saya untuk subjek Kemahiran Hidup manakala Bahasa Melayu dipantau oleh Puan Idawati. Kalau ikutkan, saya mengajar bukanlah baik pun, tapi akhirnya masih dapat markah yang agak baik daripada mereka. Siap dapat tips untuk atasi masalah yang ada tu.
Internship
Internship kami berlangsung pada 6 Julai sehingga 7 Ogos 2014, iaitu selama 4 minggu. Sepanjang internship ini, kami diminta oleh unit praktikum untuk melaksanakan 3 projek setiap seorang di sekolah masing-masing. Selain tu, kami juga perlu gunakan masa ini untuk menjalankan kutipan data bagi kajian tindakan kami.
Untuk internship ni, dua daripada projek saya ialah projek mural. Projek pertama di bengkel Kemahiran Hidup sebanyak 4 mural manakala projek kedua ialah di tandas sebanyak 5 mural. Alhamdulillah jugak Allah SWT bagi kebolehan untuk lukis sikit-sikit di atas dinding. Projek saya ni banyak dibantu oleh kawan-kawan praktikum yang tak jemu-jemu datang tolong mengecat dan sebagainya. Kawan-kawan lain turut buat projek untuk bengbkel Kemahiran Hidup ni. Kiranya bengkel ni memang berubah habis lah wajahnya.
|
Awas cat belum kering. |
|
Kami cat mural di sepanjang dinding ini. |
Satu lagi projek saya ialah program Tazkirah Pagi. Secara kebetulan, kehadiran kami untuk internship ini adalah pada bulan Ramadhan yang mulia. Oleh itu, saya telah mengambil kesempatan ni untuk membuat program tazkirah Ramadhan sebagai projek saya. Program ni berlangsung pada waktu pagi, dimulakan dengan bacaan Asma-ul-Husna, diikuti dengan bacaan teks tazkirah yang saya sediakan sendiri oleh murid terpilih dan seterusnya soalan kuiz. Bacaan Asma-ul-Husna tu pada awalnya saya nak batalkan memandangkan masa perhimpunan pagi yang agak pendek (bukan perhimpunan pun sebenarnya sebaliknya cuma murid berkumpul sebelum bergerak masuk ke kelas). Tapi atas permintaan ustaz di sini, saya teruskan juga sebab katanya dah lama tak diamalkan bacaan Asma-ul Husna ni sebab dah terlalu banyak program yang dirancang untuk sekolah. Terima kasih banyak-banyak kepada Ustaz Zul. Beliau sangat banyak membantu program ni, tolong hidupkan PA sistem dan mainkan Asma-ul-Husna sebab saya selalu datang lambat.
|
Seorang murid sedang membacakan teks tazkirah. |
Secara keseluruhan, saya rasa seronok di sini. Suasananya, ragam penghuninya, sedikit sebanyak dapat buat saya gembira. Banyak benda yang saya belajar di sini. Saya belajar kenal hati budi orang. Saya belajar tentang urus acara. Saya belajar tentang kertas kerja. Banyak. Tak tersenarai semuanya di sini rasanya. Banyak acara yang kami terlibat dari peringkat sekolah hinggalah ke peringkat daerah yang diadakan di sini.
|
Jumpa gambar ni dalam komputer sekolah. Gambar masa karnival MTQ daerah. Yang kiri tu Izati. Yang tudung pink kat tengah tu Nadiah. |
Satu yang saya perhatikan ialah cikgu-cikgu di sekolah ni rajin-rajin belaka. Cikgu Alias rajin mengusahakan tanaman depan bengkel. Ustaz Zul dan cikgu Lokman rajin buat kerja pertukangan sampaikan hampir setiap hari ada saja kerja tukang yang mereka buat. Banyak hasil tukang mereka di sekolah ni. Cikgu-cikgu di bilik guru juga saya perhatikan selalu sibuk dengan kerja masing-masing sama ada sediakan hiasan dan bahan untuk bilik-bilik khas, buat soalan latihan, dan lain-lain kerja lagi. Tapi walaupun masing-masing tak lekang dengan kerja, mereka masih lagi murah dengan senyuman dan masih berkesempatan nak beramah mesra dengan kami dan buat kami seronok di sini.
|
Ustaz Zul dan cikgu Lokman sedang siapkan hiasan pentas untuk MTQ daerah. |
|
Hiasan yang dah siap. |
Di kesempatan ni saya nak ucapkan ribuan terima kasih kepada semua. Terima kasih kepada kawan-kawan praktikum, Hafiz, Ismail, Ainaa dan Shahira yang selalu bersama waktu senang dan susah. Terima kasih pada semua guru-guru dan staf Sekolah Kebangsaan Ledang yang ramah dan mesra serta selalu buat kami gembira di sini. Terima kasih kepada Ustaz Zul yang banyak tolong jayakan program pagi saya, cikgu Alias yang sudi bagi kami gunakan bengkelnya sesuka hati dan selalu bagi hasil tanaman yang beliau usahakan di kebun depan bengkel. Terima kasih cikgu Azimah yang selalu setia mendengar bila saya ada masalah. Cikgu Hanafiah yang selalu ambil gambar program sama-sama. Terima kasih buat semua guru-guru dan staf-staf sekolah yang banyak membantu dan buat saya sentiasa tersenyum. Terima kasih murid-murid yang juga banyak bagi kerjasama. Moga Allah SWT memberkati kalian semua.
|
Barisan guru-guru SK Ledang, Tangkak, Johor |
Maaf salah silap, terkasar bahasa sepanjang saya berada di sini. Panjang umur insyaAllah kita jumpa lagi.
SK Ledang dalam kenangan. :)